vvvvvvKUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menolak dakwaan bahawa tiga projek jambatan di Sarawak dibatalkan bagi memberi laluan kepada projek Jalan Perhubungan Sarawak-Sabah (SSLR), sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar dan mengelirukan.
Beliau menegaskan dakwaan berkenaan bercanggah dengan kronologi sebenar, rekod rasmi kerajaan serta Hansard Dewan Rakyat.
“Dakwaan ini tidak tepat, mengelirukan dan bercanggah dengan kronologi sebenar, rekod rasmi kerajaan serta Hansard Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Willie, projek Jambatan Batang Lupar, Jambatan Kuala Igan dan Jambatan Rambungan adalah antara kira-kira 400 projek pembangunan yang dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 susulan semakan menyeluruh terhadap projek pembangunan berikutan kekangan kewangan negara.
Menurutnya, berdasarkan pengumuman Kementerian Kewangan pada 5 Oktober 2018, pembatalan itu membabitkan projek yang mencatat kemajuan kurang daripada 15 peratus, projek yang telah diluluskan tetapi belum ditenderkan serta projek yang telah ditenderkan tetapi belum dilaksanakan.
Tambahnya, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng turut menjelaskan beberapa projek mega di seluruh negara terpaksa dibatalkan atau distruktur semula berikutan kedudukan kewangan negara selepas pertukaran kerajaan.
Malah, katanya, Hansard Dewan Rakyat bertarikh 14 Oktober 2019 turut merekodkan penjelasan Menteri Kerja Raya ketika itu, Baru Bian bahawa ketiga-tiga projek jambatan berkenaan telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum Kerajaan Sarawak memutuskan untuk meneruskannya menggunakan dana kerajaan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Baru turut memaklumkan kepada Dewan bahawa peruntukan Persekutuan bagi projek berkenaan akan digunakan untuk projek lain di Sarawak, namun tidak pernah menyatakan bahawa dana itu disalurkan kepada projek Jalan Perhubungan Sarawak-Sabah (SSLR).
“Apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Saratok ketika itu, Datuk Ali Biju, mengenai penggunaan peruntukan berkenaan, menteri hanya memaklumkan ia akan kekal digunakan bagi projek lain di Sarawak tanpa menamakan SSLR sebagai penerimanya,” jelasnya.



