IPOH: Kes kehilangan pendaki, Jaslinda Saludin, 49, di Gunung Batu Putih, Tapah selama lebih dua minggu menyerlahkan peranan penting anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pasukan STORM JBPM digerakkan sebaik menerima laporan kehilangan pada 24 Mei, termasuk menyelamatkan seorang pendaki lelaki sebelum meneruskan pencarian Jaslinda.

Anggota penyelamat berdepan cuaca ekstrem, hujan lebat dan suhu sejuk ketika menjejaki mangsa dari Gunung Batu Putih hingga Gunung Rayu, selain berdepan kekurangan bekalan serta kecederaan anggota.

Malah, ada anggota terpaksa membatalkan majlis keluarga dan sambutan Aidiladha bagi meneruskan operasi serta memastikan keselamatan rakan setugas di dalam hutan.
JBPM Perak memaklumkan operasi menyelamat kini menjadi antara tugas utama jabatan itu dan tidak lagi tertumpu kepada pemadaman kebakaran semata-mata seperti dipetik Bernama.



