KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu menubuhkan Pejabat Bahagian Kementerian Belia dan Sukan Serian bagi memastikan kemajuan sukan dan fasiliti yang sedia ada di bahagian tersebut diurus dengan lebih berkesan.
ADUN Bukit Semuja John Ilus berkata, terdapat beberapa fasiliti dan kemudahan sukan di Bahagian Serian, seperti Stadium Mini Serian, Tebedu, Balai Ringin dan Siburan.
“Kebanyakan fasiliti ini di bawah jagaan atau seliaan Majlis Daerah. Oleh itu, Tan Sri Datuk Amar Speaker, dipohon agar Kerajaan Sarawak mewujudkan atau menubuhkan Pejabat Bahagian Kementerian Belia dan Sukan Serian, seperti bahagian-bahagian yang lain.
“Dengan adanya pejabat ini, saya pasti kemajuan sukan dan fasiliti yang sedia ada akan terurus dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Dalam pada itu, John memberitahu, Bahagian Serian sangat aktif dalam pelbagai jenis sukan seperti bahagian-bahagian yang lain di Sarawak.
Dalam sukan bola sepak, beliau berkata Serian FA pernah memasuki Pertandingan Akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) peringkat kebangsaan tahun 2016/2017.
Tambahnya, 2025, Serian FA berjaya memasuki separuh akhir Pertandingan Liga Bola Sepak Premier Sarawak.
“Baru-baru ini, Pasukan Futsal Saberkas Cawangan Bukit Semuja menjadi juara di kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas 2026,” katanya.


