MAJLIS Raja-Raja dalam Mesyuarat Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober 2023 bersetuju mengisytiharkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll (ke-17), selama tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tarikh yang sama.
Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dari Pahang — yang penggal baginda tamat pada 30 Januari 2024.
Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar diputerakan pada 22 November 1958 sebagai Sultan Johor ke-23 dan Sultan Johor era moden kelima.
PEWARIS TAKHTA
Baginda mempunyai dua pewaris takhta Kesultanan Johor Darul Takzim iaitu Tunku Mahkota Johor, Mejar Jeneral Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim Ismail dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Ibrahim Ibni Mejar Jeneral Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim sememangnya terkenal dengan ketegasan terutama dalam hal pentadbiran dan rakyat jelata.
Namun, di sebalik ketegasan itu baginda merupakan raja yang penyayang dan pemurah.
Perkara itu diakui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sambil menyifatkan pendekatan yang diambil Sultan Johor selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi membawa nilai tambah dan kesejahteraan rakyat negeri itu.



