YAYASAN NAIM iktiraf kecemerlangan PELAJAR

KUCHING: Enam pelajar Sekolah Menengah Chung Hua No. 4 Kuching menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Naim, sempena majlis graduasi yang diadakan baru-baru ini.
Menurut kenyataan medianya, semua penerima menyatakan penghargaan atas anugerah yang diberi, kerana ia membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat tinggi.
Caroline Lau, salah seorang penerima anugerah berkata, dengan anugerah yang diterima, dia berhasrat melanjutkan pengajiannya dalam bidang kesusasteraan Cina di Beijing, China.
“Saya dapati sastera Cina sangat menarik dan berpotensi besar pada masa akan datang,” katanya.
Bagi Jong Tao Siew pula, dia lebih meminati bidang reka bentuk da-laman dan menyimpan hasrat melanjutkan pengajiannya di Taiwan.
“Saya menonton banyak rancangan berkonsep pengubahsuaian rumah dan jatuh cinta dalam bidang ini.
“Impian saya adalah untuk mengubah suai ruang tamu dan bahagian dalaman rumah.
Saya mahu beri keselesaan dan membawa kebahagiaan kepada orang yang tinggal di dalamnya,” kata Tao Siew.
Sementara itu, Goh Kai Shun berkata, dia ingin mencebur diri dalam bidang kejuruteraan elektronik dan reka bentuk dalaman.
“Saya minat bidang elektronik dan reka bentuk dalaman melalui pertandingan yang saya sertai di sekolah.
“Saya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut sama ada di Taiwan atau China,” katanya.
Berbeza pula dengan Chong Siew Yun dan Bong Pik Xia, yang masing-masing berhasrat mendapat kelayakan profesional perakaunan daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan membina kerjaya dalam bidang periklanan.
“Saya lama mengimpikan untuk menyambung pengajian perakaunan ACCA di Kuala Lumpur dan anugerah yang saya terima ini menjadi sebahagian daripada dana untu membiayai pengajian saya di sana” ujar Siew Yun.
Manakala, penerima anugerah terakhir Emelyn Wee Geok Chin berkata, dia ingin melanjutkan pengajiannya dalam bidang kewangan dan ekonomi di Kuala Lumpur dan dengan pengetahuan yang diperoleh, ia dapat membantu perniagaan keluarganya.
Sehubungan itu, Pengetua sekolah Johnny Kon turut menyatakan penghargaan kepada syarikat Naim atas inisiatif yang diberikan.
Menurutnya, langkah ini sangat baik dalam meningkatkan prestasi pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Terdahulu, Yayasan Naim iaitu badan amal Kumpulan Syarikat Naim melancarkan anugerah ini tahun 2016, dengan objektif untuk memacu kecemerlangan akademik di kalangan pelajar di samping menaikkan semangat masyarakat setempat.
Program ini melibatkan penyertaan 36 sekolah di Sarawak pada masa itu.

JOHNNY KON