YOGYAKARTA di selatan Pulau Jawa ialah sebuah bandar yang elok lagi cantik.
Saya bersama-sama isteri berpindah ke Yogyakarta dua tahun lepas, ketika musim mangga, persis ketika matahari terbit dan terbenam lebih cepat setiap harinya.
Sebagai seorang wartawan yang baru sahaja menetap di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), saya seringterpesona dengan keindahan bandar ini.
Bukan sahaja penduduknya ramah dan sopan, tetapi juga bandar ini sangat selamat.
Kami memanggilnya Jogja sahaja.
Sebuah bandar yang kaya dengan sejarah, budaya, dan mempunyai pemandangan alam yang sangat indah.
Gunung Merapi menjulang gagah, pantai berpasir sentiasa basah, dan sawah-sawahnya menghijau seperti permaidani raksasa.
Yogyakarta kini telah menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di Indonesia, selain Pulau Bali yang terkenal di seluruh dunia.
Yogyakarta, Kota Sejarah dan Budaya
Seorang ahli sejarah memberitahu saya bahawa kawasan Yogyakarta didiami manusia sejak zaman prasejarah.
“Buktinya terdapat di Situs Sokoliman, Gua Braholo, Sungai Oya, di Kabupaten Gunung Kidul,” katanya.
Ada banyak peninggalan kerajaan Hindu-Buddha dari abad kesembilan hingga ke-15 di wilayah Yogyakarta.
Salah satunya Candi Prambanan, iaitu candi Hindu terbesar dan termegah di Indonesia, berjiran dengan Candi Borobudur.
Yogyakarta juga pernah menjadi pusat kerajaan Mataram Islam pada abad ke-16 dan pernah dijadikan ibu kota negara Indonesia pada 1946.
Sebenarnya, era kesultanan Yogyakarta baru bermula pada 1755, setelah kejatuhan kerajaan Mataram Islam.
Maka itu, saya fikir tidaklah pelik apabila Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bertemu dengan Sri Sultan HB X pada 18 Oktober 2024 untuk membincangkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.





