ARTIKEL

Gambar fail: Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol . Foto oleh Yonhap

Yoon Dihukum Penjara Tertangguh Kerana Langgar Undang-undang Pilihan Raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEOUL: Mahkamah Seoul pada Isnin mensabitkan bekas Presiden Yoon Suk Yeol atas kesalahan melanggar undang-undang pilihan raya, sekali gus menyebabkan parti pembangkang utama berdepan risiko perlu memulangkan hampir 40 bilion won (US$27.3 juta) yang dibayar balik sebagai perbelanjaan kempen bagi pilihan raya presiden 2022.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Yoon yang ditangguhkan selama tiga tahun selepas beliau didapati bersalah membuat kenyataan palsu ketika menjadi calon presiden Parti Kuasa Rakyat (PPP) menjelang pilihan raya pada Mac 2022.

Jika keputusan itu dimuktamadkan selepas proses rayuan, PPP perlu memulangkan 39.7 bilion won yang dibayar balik oleh badan pemantau pilihan raya sebagai perbelanjaan kempen susulan kemenangan Yoon pada pilihan raya 2022.

Di bawah undang-undang pilihan raya, parti politik akan dibayar balik perbelanjaan kempen sekiranya calon presiden mereka memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi. Bagaimanapun, dana itu perlu dipulangkan sekiranya calon berkenaan dikenakan denda muktamad sekurang-kurangnya satu juta won atau hukuman penjara kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Peguam Yoon berkata mereka akan mengemukakan rayuan dengan mendakwa terdapat beberapa kesilapan dalam keputusan mahkamah itu.

Pasukan pendakwa raya khas Min Joong-ki sebelum ini mendakwa Yoon kerana disyaki membuat dakwaan palsu pada satu acara media pada Disember 2021 bahawa beliau tidak pernah memperkenalkan seorang peguam kepada bekas pegawai cukai.

Yoon turut didakwa berbohong dalam satu temu bual pada Januari 2022 apabila berkata seorang pegawai parti telah memperkenalkannya kepada bomoh Jeon Seong-bae dan menafikan pernah bertemu Jeon bersama isterinya, Kim Keon Hee.

Mahkamah mendapati Yoon bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dengan menerima hujah pendakwa raya khas bahawa Yoon sebenarnya telah memperkenalkan peguam berkenaan kepada bekas pegawai cukai itu dan bertemu Jeon menerusi isterinya.

“Kesalahan itu amat serius kerana maklumat palsu disebarkan mengenai perkara yang mendapat perhatian besar pengundi,” menurut mahkamah.

Pasukan Min sebelum ini memohon hukuman penjara dua tahun terhadap Yoon.

Jika kes itu dibawa ke mahkamah tertinggi, keputusan muktamad dijangka dibuat pada Januari tahun depan.

Di bawah undang-undang pendakwa raya khas, kes yang dikendalikan pasukan Min perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan pada perbicaraan peringkat pertama dan masing-masing dalam tempoh tiga bulan di mahkamah rayuan serta Mahkamah Agung.

Keputusan itu merupakan sabitan terbaharu terhadap bekas presiden yang kini dipenjarakan dan sedang dibicarakan dalam beberapa kes susulan percubaan beliau melaksanakan undang-undang tentera yang gagal pada Disember 2024.

Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Februari kerana mengetuai pemberontakan menerusi percubaan yang gagal itu dalam perbicaraan peringkat pertama kes berkenaan. Yoon telah merayu keputusan itu. – BERNAMA-YONHAP

BERITA LAIN

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan