ARTIKEL

Yurika taruhan baharu muzik Dayak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Nama Yurika mungkin masih baharu dalam arena hiburan Dayak, namun kemunculan sulungnya menerusi lagu Timang Pengerindu (versi nyanyian semula) telah menarik perhatian ramai.

Wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Kapit/ Sri Aman ini bukan sahaja membawa suara segar ke dalam industri, tetapi juga sarat dengan emosi yang mendalam dalam setiap bait lagu yang dinyanyikan.

Yurika, atau nama penuhnya Yorekha Smithnow Karrol, merupakan anak sulung daripada empat beradik dan kini bekerja sebagai Penolong Penilai (Valuation Assistant).

Walaupun bukan berlatarbelakangkan bidang nyanyian, beliau berjaya menjiwai dan menyampaikan lagu tersebut dengan penuh perasaan hingga menyentuh hati ramai pendengar.

Timang Pengerindu pada asalnya hanyalah projek peribadi beliau bersama pencipta lagu terkenal, Allesandro, sebagai latar muzik montaj video.

Namun, selepas sesi rakaman bersama Alexius Paul dan mendapat dorongan daripada Allesandro serta ayah beliau sendiri, lagu tersebut akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 26 Jun lalu di saluran YouTube Allesandro.

Menariknya, versi asal lagu ini dinyanyikan oleh penyanyi lelaki dan diterbitkan sejak 2021.

Menurut Yurika, lagu ini cukup dekat di hati kerana ia membangkitkan memori manis semasa majlis perkahwinannya.

“Lagu ini membawa makna yang sangat mendalam iaitu tentang kasih sayang yang tulus dan kenangan yang menjadi kekuatan untuk terus melangkah,” katanya.

Lirik lagu yang puitis, hasil nukilan Allesandro dan Agat Sanggau, menyentuh jiwa dengan mesej cinta dan harapan. Lagu ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi wadah untuk Yurika berkongsi perasaannya kepada dunia.

“Cinta tidak semestinya menyakitkan.

Kadang-kadang ia menjadi sumber kekuatan.

Setiap rasa yang ikhlas, walaupun seketika, tetap berharga,” tambahnya.

Berbicara mengenai pelibatan dalam industri, Yurika memulakan langkah awalnya dalam bidang seni persembahan, khususnya tarian.

“Nyanyian bukanlah sesuatu yang saya jangkakan, tetapi minat terhadap seni dan dorongan daripada keluarga, terutamanya ayah saya, membuka ruang untuk saya mencuba,” ujar Yurika yang turut mengagumi karya-karya seni ayahnya, Karrol Intai, seorang penulis lirik dan komposer tersohor dalam dunia hiburan Dayak.

Walaupun baharu melangkah ke dunia nyanyian, Yurika tidak menafi kan cabaran yang dihadapinya, termasuk membahagikan masa antara kerjaya tetap dan komitmen seninya.

Namun, sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, sahabat dan komuniti menjadi dorongan utama untuknya terus berkarya.

“Timang Pengerindu merupakan lagu pertama saya.

Namun saya berharap ini bukan yang terakhir,” katanya penuh semangat.

Beliau turut menyimpan impian untuk merakam lagu asal sendiri suatu hari nanti dan bekerjasama dengan lebih ramai penggiat seni dalam industri.

Yurika turut mengakui perkembangan muzik Dayak masa kini sangat positif.

“Dari segi kualiti, penulisan, produksi sehinggalah kepada genre, semuanya berkembang dengan begitu baik.

Saya bangga menjadi sebahagian daripadanya, walaupun kecil,” katanya kepada Suara Sarawak.

Akhir kata, Yurika menitipkan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah menyokongnya sejak awal.

“Saya tidak pasti jika saya sudah mempunyai peminat, tapi untuk semua yang menyokong saya secara langsung atau tidak, terima kasih daripada hati saya.

Sokongan anda adalah semangat saya untuk terus melangkah.”

Dengan keunikan suara, keikhlasan dalam penyampaian dan semangat yang membara, Yurika pastinya bakal menjadi salah satu wajah baharu yang menyinar dalam industri hiburan Dayak.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton video muzik Timang Pengerindu di YouTube dan hayati sendiri keindahan emosi yang disampaikan oleh Yurika.

BERITA LAIN

Khir Rahman kembali ke pentas teater Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah tersohor, Khir Rahman kembali beraksi di pentas teater selepas hampir sedekad menerusi pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil di

Shuib Sepahtu tampil mohon maaf

PELAWAK Shuib Sepahtu mengambil tanggungjawab atas ketegangan yang berlaku antara dirinya dengan rakan seperjuangannya, Jep Sepahtu, apabila tampil memohon maaf secara terbuka selepas hampir seminggu

BERITA TERBARU