
SARIKEI: Zairiza Shafawatie Zainudin, 32, dinobatkan sebagai Ratu Pesta Bintangor menewaskan cabaran lapan peserta akhir dalam saringan pertandingan itu di Tebingan Sungai Bintangor di sini, semalam.
Anak jati kelahiran Bintangor itu membawa pulang wang tunai RM1,500, piala dan beberapa hadiah iringan.
Ketika ditemui pemberita, Zairiza mengakui berdepan cabaran dalam meningkatkan tahap keyakinannya untuk berdepan saingan peserta lain.
“Saya akui peringkat awal hingga akhir pertandingan ini sangat sukar. Namun, saya gembira kerana berjaya melepasi semua halangan itu. Saya rasa sangat bersyukur.
“Kemenangan ini sememangnya sangat bermakna dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan menyokong sehingga membuahkan kejayaan saya pada hari ini,” katanya.
Tempat kedua disandang Nur Nisriena Mohd Shahruddin Martin, 27, dan Faziratul Fazlin Daniel, 24, menduduki tempat ketiga, masing-masing memenangi wang tunai RM1,000 dan RM750 serta hadiah iringan.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman yang mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.