Pelakon Zara Zya kini dilihat lebih selesa menjalani kehidupan dengan pendekatan yang lebih tenang dan terkawal, khususnya apabila melibatkan soal peribadi.
Pada usia 41 tahun, beliau tidak lagi berada dalam fasa untuk berkongsi setiap perkara dengan umum, sebaliknya memilih untuk menyimpan hal tertentu demi menjaga privasi dan ketenangan diri.
Mengulas mengenai status hubungannya, Zara memberi bayangan sedang mengenali seseorang lelaki, namun belum bersedia untuk mendedahkan identiti individu tersebut.
“Saya tidaklah cakap tiada, tetapi tidak juga ada. Cuma, berkawan itu ada, tetapi saya belum bersedia untuk berkongsi lanjut,” katanya.
Kenyataan ini menggambarkan pendekatan berhati-hati yang diambil selepas melalui pelbagai pengalaman sebelum ini.
Tambahnya, faktor usia dan kematangan memainkan peranan besar dalam cara beliau menguruskan hubungan.
“Pada umur seperti ini, saya mahu lebih tenang dan jika ada yang patut kita kongsikan, saya akan beritahu dan kalau tidak, biarlah saya simpan sendiri dahulu,” ujarnya, sekali gus menunjukkan keutamaan terhadap kestabilan emosi berbanding perhatian umum.
Pada masa sama, pelakon ini juga tidak lagi meletakkan tekanan terhadap soal jodoh.
Bagi Zara, kehidupan tidak harus diukur semata-mata melalui perkahwinan.
“Sekarang ini saya sudah umur 41 tahun, nak sasarkan apa lagi? Saya lalui sahaja.
Kalau ada rezeki, Allah beri, adalah nanti,” katanya dengan penuh reda.
Malah, beliau menegaskan rezeki hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk kesihatan dan kehidupan yang serba mencukupi.
Pendekatan ini memperlihatkan sisi matang seorang wanita yang kini lebih menghargai ketenangan hidup dan menyerahkan soal jodoh kepada takdir.
la juga mencerminkan perubahan perspektif dalam kalangan individu yang memilih untuk tidak lagi terikat dengan tekanan sosial berkaitan usia dan perkahwinan.
Sementara itu, dari sudut kerjaya, Zara bakal tampil dalam drama Luka di Hujung Setia yang akan ditayangkan di TV3 bermula 19 Mei ini.
Lebih menarik, naskhah tersebut turut menyaksikan beliau kembali bergandingan semula dengan Datuk Adi Putra selepas sekian lama, sesuatu yang diakui membuatkan beliau tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut.
Menurutnya, peluang bekerjasama semula dengan Adi Putra memberikan rasa nostalgia tersendiri memandangkan mereka pernah berkongsi layar dalam beberapa drama sebelum ini.
Perkembangan ini dijangka menambah keterujaan penonton yang ingin melihat kembali keserasian mereka di kaca televisyen, sekali gus menguatkan lagi momentum kerjaya Zara dalam industri seni tempatan.



