733 kediaman di Dun Saribas bakal terima kemudahan elektrik

PUSA: Sebanyak 733 kediaman di Dun Saribas bakal ‘bercahaya’ selepas permohonan penduduk dipertimbangkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi perlaksanaan Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) penyambungan bekalan elektrik.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, program yang mula diperkenalkan pada 2016 itu sedang giat dilaksanakan bagi memastikan semua isi rumah di Sarawak mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.

“Syukur, kita di luar bandar juga mendapat tempias inisiatif kerajaan dan saya difahamkan sebanyak 733 permohonan di Dun Saribas telah dipertimbangkan, malah kontraktor juga telah dilantik.

“Justeru saya berharap perlaksanaannya nanti dapat dipercepatkan berikutan penduduk kampung sudah menunggu terlalu lama untuk disambungkan dengan bekalan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama-sama pihak kontraktor, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan wakil penduduk di Kampung Medang.

Suara Sarawak