Penerbangan ke Sarawak dikurangkan

KUCHING: Jumlah penerbangan ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan dikurangkan bermula hari ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.
Menurutnya keputusan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat semalam selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengambil kira pelbagai faktor.
“Antaranya adalah jumlah bilik hotel yang terhad untuk tujuan kuarantin serta lonjakan mendadak kes positif Covid-19 di negeri ini.
“Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu bermula 16 hingga 29 Januari ini serta PKPB di Kuching dan Miri kerana diisytiharkan sebagai zon merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua syarikat penerbangan telah diberi masa dan jadual penerbangan yang berbeza untuk membolehkan mereka mempunyai jumlah muatan penumpang yang lebih baik.
“Saya ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan agar hanya menjual tiket penerbangan mengikut jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS.
“Sementara itu orang ramai disarankan untuk menempah atau membeli tiket penerbangan berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang disetujui JPBNS,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai dapat memeriksa jadual penerbangan terbaharu di laman sesawang Kementerian Pengangkutan, Sarawak di mot.sarawak.gov.my.

Perincian jadual penerbangan dan kekerapan terkini ke Sarawak

 
Perincian jadual penerbangan dan kekerapan terkini ke Sarawak

Suara Sarawak