SIBU: Sebanyak 1.8 tan timun laut kering disyaki melebihi had permit dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah di sini, sekali gus menjadi rampasan terbesar setakat ini.
Rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas mendapati bahan berkenaan dipercayai melanggar syarat permit yang diluluskan.
SFC dalam kenyataan hari ini berkata, semua hasil rampasan telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

“SFC menegaskan pematuhan terhadap syarat permit adalah penting bagi memastikan pengurusan sumber hidupan liar dilaksanakan secara mampan, terkawal dan berkesan,” katanya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Katanya, antara spesies timun laut yang dilindungi di bawah CITES Appendix II dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 termasuk Holothuria fuscogilva (white teatfish), Holothuria nobilis dan Holothuria whitmaei (black teatfish), serta Holothuria lessoni (sandfish).
Jelas SFC, penyenaraian itu dibuat berikutan tekanan eksploitasi global yang tinggi susulan permintaan pasaran antarabangsa terhadap komoditi berkenaan, khususnya dalam bentuk produk kering bagi makanan dan perubatan tradisional.
“Dari segi ekologi, timun laut memainkan peranan penting sebagai “jurutera ekosistem” yang membantu mengitar semula nutrien, memperbaiki kualiti sedimen serta mengekalkan keseimbangan habitat dasar laut seperti terumbu karang dan padang lamun,” tambahnya.
Sehubungan itu, orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan hidupan liar kepada pihak berkuasa bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pemuliharaan.



