ARTIKEL

Rubiah Wang menyampaikan ucapan.

12 usahawan MARA terima anugerah AURA peringkat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sokongan bidang keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Sarawak terus membuahkan hasil apabila inisiatif bernilai RM57.21 juta berjaya menjana jualan sebanyak RM123.1 juta serta mewujudkan 2,120 peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata, selaras dengan pencapaian tersebut, Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Sarawak 2024–2025 yang julung kali diadakan di setiap peringkat negeri mengiktiraf kecemerlangan prestasi, daya tahan dan daya saing usahawan.

Rubiah Wang menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan MARA kepada Maysville Sdn. Bhd.

“Bagi tempoh 2024 hingga 2025, seramai 9,974 usahawan di Sarawak menerima manfaat melalui pelbagai kemudahan keusahawanan yang disediakan dalam bentuk pembiayaan perniagaan, geran pembangunan serta latihan keusahawanan bagi meningkatkan keupayaan perniagaan sehingga mampu menembusi pasaran luar negara.

“Melalui ekosistem keusahawanan MARA yang inklusif, sebanyak 156 perusahaan mikro berjaya dinaik taraf kepada perniagaan kecil, manakala lapan perusahaan kecil pula berkembang ke peringkat perusahaan sederhana, membuktikan keberkesanan dalam pembangunan usahawan bumiputera,” katanya ketika berucap pada Majlis AURA Peringkat Sarawak 2024–2025 di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.

Rubiah Wang merakam gambar kenangan bersama-sama 12 usahawan yang menerima anugerah.

Menurutnya, kejayaan ini disokong permintaan tinggi dalam pembiayaan keusahawanan di Sarawak, sehingga MARA menambah peruntukan pinjaman bagi memastikan keperluan usahawan terus terbela.

“Saya dimaklumkan bahawa pinjaman yang dibantu untuk usahawan Sarawak pada asalnya berjumlah RM30 juta, namun setakat ini kita membelanjakan RM46 juta bagi membantu usahawan Sarawak,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas tentang penganjuran AURA peringkat Sarawak, katanya, seramai 103 usahawan dicalonkan di peringkat daerah, dengan penilaian dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kecemerlangan prestasi, inovasi, potensi jangka panjang serta sumbangan kepada pembangunan komuniti.

“Selepas melalui fasa saringan, seramai 53 usahawan disenarai pendek sebelum dinilai di peringkat negeri bagi memilih pemenang dan kita meraikan 12 usahawan terbaik bagi 12 kategori anugerah yang dipertandingkan.

“Penerima anugerah akan diketengahkan untuk mewakili Sarawak ke AURA peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa MARA Sarawak akan menganjurkan AURA peringkat negeri pada setiap tahun sebagai batu loncatan dan motivasi kepada usahawan MARA untuk terus mencapai kegemilangan serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rubiah berkata, MARA turut memperkenalkan kategori baharu AURA iaitu Anugerah Khas Wakaf MARA Madani, sebagai usaha mengangkat nilai dermawan dan tanggungjawab pembangunan sosial dalam dunia keusahawanan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU