MIRI: Kejohanan Bola Sepak ‘King Of Veteran Cup Edisi II 2026’ bermula esok (Jumaat) di Padang KRP Lutong, Miri.
Ia sekali gus menyaksikan penampilan 16 pasukan mewakili kelab handalan berentap untuk memburu gelaran juara dan hadiah wang tunai cukup lumayan.
Pengerusi kejohanan, Chris Naih memberitahu, pasukan terlibat ialah KB Warrior, Segalang, Landas Sarawak, Gedong Unity (Kumpulan A).
ZZ United, OHM, PEBISSA, TIGER FC (Kumpulan B), ZR United, PH Warrior, Borneo Squad, Sibuti Vet (Kumpulan C), GMV, Al-Quthuz, WFL dan Bara Nusantara (Kumpulan D).
Menurut Chris, saingan sengit pasti berlaku sepanjang tiga hari (9-11 Oktober) itu berlangsung.
Katanya, semua pasukan terlibat turut menyenaraikan ramai bekas pemain berstatus bintang, tidak hanya yang pernah menyarung jersi pasukan Sarawak, malah mereka yang pernah mewakili skuad kebangsaan termasuk kelab dari negara jiran iaitu Brunei Darussalam.
“Saingan pasti sengit kerana difahamkan pasukan terlibat turut menyenaraikan ramai bekas pemain bintang yang pernah menyarung jersi pasukan Sarawak dan skuad kebangsaan,” ujar Chris kepada Arena Suara Sarawak.
Saingan liga peringkat kumpulan untuk pusingan awal. Dua pasukan terbaik layak ke suku akhir.
Untuk rekod, pasukan Al-Quthuz merupakan juara edisi pertama kejohanan itu.



