MUKAH: Seramai 17 pelajar Politeknik Mukah (PMU) menyertai Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 16/2025 di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Selangor, bermula 9 Julai hingga hari ini.
Kontinjen PMU mewakili Rejimen 510 Askar Wataniah diiringi dua orang pensyarah iaitu Ambrose Entawan Brauh dan Muhammad Najib Amin.

Menurut Najib yang juga Penasihat Askar Wataniah PMU, pelajar menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan berjaya mengharungi cabaran dengan baik.
“Antara cabaran yang mereka hadapi adalah seperti pertandingan menembak dan kelas operasi dalam kawasan terbina (OBUA).
“Tahniah kepada mereka yang terlibat sepanjang MALPTAAC ini berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.
MALPTAAC Siri 16/2025 ini adalah medan untuk membina sahsiah unggul dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Justeru, ia adalah selaras dengan matlamat memperkasa pertahanan negara menerusi penglibatan belia dalam Pasukan Simpanan Askar Wataniah.


