KUCHING: Pembukaan semula sekolah secara bersemuka bagi pelajar Tingkatan 5, calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan murid berkeperluan khas di sini berjalan lancar dengan kehadiran yang memberangsangkan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, semua sekolah di negeri ini juga bersedia menerima semula kehadiran pelajar termasuk menyediakan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persiapan sekolah-sekolah di Kuching dan diharap seluruh Sarawak juga sama. Malah peratusan kehadiran para pelajar juga agak tinggi di hari pertama pengoperasian sekolah.
“Semoga jumlah kehadiran para pelajar ini akan terus meningkat. Justeru, saya menyeru kepada semua ibu bapa untuk menghantar dan membenarkan anak-anak ke sekolah kerana kita memberi jaminan bahawa pihak sekolah sudah menyediakan langkah-langkah keselamatan yang mencukupi,” katanya pada lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Taman Matang Jaya, di sini, hari ini.
Hari ini merupakan hari pertama pembukaan semula sekolah secara bersemuka di seluruh negara bagi negeri-negeri yang berada dalam fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pembukaan secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan itu diadakan bagi memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan selamat.



