20 ahli pasukan Maritim Malaysia di Bintulu derma darah

BINTULU: Seramai 20 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu hari ini menderma darah bagi membantu menambah bekalan darah Hospital Bintulu yang semakin berkurangan.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil, inisiatif ini bagi membantu pihak Unit Transfusi Darah Hospital Bintulu yang kekurangan bekalan simpanan darah semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP).

Selain itu, katanya, ia juga sebagai tanda sokongan Maritim Malaysia terhadap kempen derma darah anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu ‘satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa’.

Langkah-langah keselamatan dan kesedaran berkaitan Covid-19 turut dititikberatkan oleh pihak KKM semasa berlangsungnya program ini bagi mengurangkan risiko penularan wabak.

Petugas KKM turut melakukan saringan kesihatan terhadap anggota yang hadir sebelum proses derma darah dengan mempraktikkan penjarakan fizikal.

“Aktiviti ini telah menjadi program tahunan pada setiap tiga bulan di Zon Maritim Bintulu dan berharap dengan adanya program seperti ini, ianya dapat membantu pihak hospital meningkatkan simpanan darah, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa insan lain tanpa mengira bangsa dan agama,” jelas beliau.

Effendy melakukan pemeriksaan sebelum menderma darah.

Suara Sarawak