BAU: Sebanyak 25 pertuduhan berkaitan dadah diputuskan di Mahkamah Majistret Bau dalam tempoh dua hari, iaitu Khamis dan semalam, dengan hukuman denda serta penjara dikenakan terhadap tertuduh.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, daripada jumlah itu, 13 pertuduhan diputuskan pada Khamis, manakala 12 lagi diputuskan semalam.
Beliau berkata, 24 pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala satu lagi mengikut Seksyen 12(3) akta sama.
“Hukuman yang dijatuhkan termasuk denda antara RM2,500 hingga RM5,000, dengan hukuman penjara antara sembilan hingga 11 bulan jika gagal membayar denda.
“Selain denda, terdapat juga tertuduh yang terus dijatuhi hukuman penjara antara tujuh hingga 11 bulan bagi pertuduhan masing-masing,” katanya.
Mohd Haide berkata, bagi 13 pertuduhan yang diputuskan pada Khamis, beberapa tertuduh dikenakan denda antara RM2,500 hingga RM5,000 serta hukuman penjara antara sembilan hingga 11 bulan jika gagal membayar denda.
Katanya, mahkamah turut memerintahkan satu hukuman penjara 10 bulan berjalan berturutan selepas selesai hukuman penjara 10 bulan bagi pertuduhan lain.
Sementara itu, 12 pertuduhan diputuskan semalam, termasuk satu kes di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara tujuh bulan.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a), beberapa tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 bulan, manakala sebahagian lagi dikenakan denda antara RM3,000 hingga RM5,000 dengan hukuman penjara antara 10 hingga 11 bulan jika gagal membayar.
Mohd Haide berkata, beberapa tertuduh turut berdepan lebih daripada satu pertuduhan, termasuk kes yang melibatkan hukuman penjara secara berturutan mengikut keputusan mahkamah.
Kesemua kes berkenaan dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan membabitkan kesalahan di bawah ADB 1952. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.



