ARTIKEL

3 Abdul bina legasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Suatu ketika dahulu, “3 Abdul” hanyalah gelaran yang sering diberikan kepada tiga beradik ini setiap kali mereka berjalan bersama-sama.

Kini, nama yang sama menjadi identiti sebuah perniagaan menjual pau yang dikenali sebagai 3 Abdul Legacy, berhampiran Uptown Desa Ilmu, Samarahan.

Perniagaan tersebut dibangunkan hasil usaha tiga beradik itu dalam mengejar impian bersama-sama.

Bagi Abdul Aqil Azem Sanawi, 24, nama tersebut mempunyai nilai sentimental kerana sudah sebati dengan kehidupan mereka sejak kecil.

Menurut beliau, beliau bersama-sama dua adiknya, Abdul Fasil Iman, 21, dan Abdul Irfan Aiman, 19, sering digelar “3 Abdul” kerana orang ramai mengaitkan mereka dengan filem klasik Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Ke mana-mana sahaja kami pergi, orang akan memanggil kami ‘3 Abdul’, seperti dalam filem P. Ramlee. Kami juga diibaratkan seperti tiga pendekar,” katanya.

Selepas berhenti kerja, Abdul Aqil memilih untuk menggunakan nama tersebut sebagai identiti perniagaan yang dibangunkan bersama-sama adik-adiknya.

“Saya terfikir untuk membuka kedai dengan nama 3 Abdul, bersempena dengan nama kami tiga beradik,” katanya.

Namun begitu, perjalanan mereka sebagai usahawan bermula secara sederhana.

Pada Mei tahun lalu, mereka memulakan perniagaan dengan menjual minuman balang di bazar dan beberapa acara di sekitar Samarahan.

Segalanya berubah apabila Abdul Aqil mengambil keputusan untuk memanfaatkan kemahirannya dalam bidang bakeri bagi menghasilkan pau.

“Saya teringat bahawa saya mempunyai kemahiran membuat pau. Jadi, kami mencuba untuk menjualnya dan dalam tempoh kurang daripada sebulan, pau kami sudah mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Idea tersebut tercetus apabila beliau melihat peluang perniagaan di sekitar Uptown Desa Ilmu yang pada ketika itu tidak mempunyai penjual pau panas.

Sambutan pelanggan yang semakin menggalakkan mendorong mereka untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penghasilan pau.

Malah, promosi menerusi siaran langsung di TikTok turut membantu memperkenalkan 3 Abdul Legacy kepada lebih ramai pelanggan.

Walaupun semakin mendapat perhatian, mereka tetap mengekalkan pilihan perisa pau yang ditawarkan sejak awal perniagaan.

Menurut Abdul Aqil, proses menghasilkan rasa yang sesuai memerlukan banyak percubaan kerana mereka mahu memastikan produk yang dijual benar-benar menepati cita rasa mereka dan pelanggan.

“Saya dan adik bongsu bertanggungjawab memastikan rasa pau ini menepati cita rasa kami. Sekiranya salah seorang daripada kami tidak bersetuju, kami akan mengubah resipi itu sehingga memperoleh rasa yang kami anggap sesuai untuk dijual,” katanya.

Selain menitikberatkan rasa, mereka turut memilih untuk mengekalkan harga RM1 bagi memastikan produk tersebut mampu dibeli oleh pelanggan, khususnya golongan pelajar.

“Kami sememangnya bercadang untuk menjual pau pada harga RM1 kerana terdapat ramai pelajar di kawasan ini.

“Kami memahami keadaan kewangan golongan pelajar, jadi kami mahu memberi mereka peluang untuk membeli makanan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Namun begitu, mengurus perniagaan makanan bukanlah sesuatu yang mudah. Cabaran terbesar mereka ialah memastikan kualiti pau sentiasa konsisten kerana proses pembuatannya sangat bergantung pada suhu persekitaran.

“Pau ini sangat sensitif terhadap perubahan suhu. Jika suhu terlalu rendah, pau tidak mengembang dengan sempurna.

“Namun, jika suhu terlalu tinggi, pau akan mengembang secara berlebihan sehingga bentuknya menjadi kurang menarik,” jelasnya.

Walaupun hanya mempunyai empat pekerja, mereka tetap berusaha menghasilkan pau setiap hari di sebuah rumah yang dijadikan pusat pengeluaran.

Mereka pernah mencuba mesin pembuat pau yang dibeli dari Kuala Lumpur pada harga kira-kira RM15,000. Namun begitu, hasilnya tidak seperti yang diharapkan kerana tekstur pau menjadi lebih kering.

Akhirnya, mereka memilih untuk kembali menggunakan kaedah manual bagi mengekalkan kualiti pau yang diinginkan.

Minat Abdul Aqil dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana beliau mula berniaga secara kecil-kecilan sejak berada di Tingkatan Empat.

Minat tersebut turut dipengaruhi oleh ibunya yang pernah menjual kuih ketika beliau masih kecil.

Walaupun mempunyai pengalaman berniaga, keputusan untuk berhenti kerja dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada mulanya, ibunya kurang bersetuju dengan keputusan tersebut kerana bimbang akan modal dan komitmen yang diperlukan.

Namun begitu, bapanya sentiasa memberikan sokongan kepadanya ketika beliau berdepan dengan pelbagai cabaran.

Abdul Aqil mengakui beliau pernah hampir menutup perniagaannya kerana tidak berpuas hati dengan kualiti pau yang dihasilkan.

“Saya tidak sampai hati untuk menjual pau kepada pelanggan sekiranya kualitinya tidak memuaskan. Ketika itu, saya hampir menutup kedai,” katanya.

Namun begitu, kata-kata semangat daripada bapanya mendorong beliau untuk terus bertahan.

“Bapa saya sentiasa memberikan semangat supaya saya meneruskan perniagaan ini dan tidak berputus asa,” katanya.

Kini, 3 Abdul Legacy menjadi usaha perniagaan yang dijalankan bersama-sama dua adiknya.

Abdul Fasil pernah berkhidmat sebagai anggota polis sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi membantu mengembangkan perniagaan keluarga.

Abdul Irfan pula, bersama-sama Abdul Aqil, memainkan peranan dalam memastikan rasa dan kualiti pau sentiasa terpelihara.

Bagi Abdul Aqil, kejayaan 3 Abdul Legacy pada hari ini bukanlah hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama tiga beradik yang saling melengkapi.

Pada masa akan datang, mereka berharap dapat mengembangkan perniagaan tersebut ke Kuching.

Namun begitu, hasrat itu masih perlu ditangguhkan kerana kapasiti pengeluaran sedia ada belum mampu memenuhi permintaan harian pelanggan.

Selain itu, mereka turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang berkemahiran menghasilkan pau secara manual.

Bermula daripada gelaran yang tercipta ketika zaman kanak-kanak, 3 Abdul Legacy kini menjadi simbol perjalanan tiga beradik dalam membina impian bersama-sama.

Nama itu bukan sekadar jenama perniagaan, tetapi turut menggambarkan keberanian untuk mencuba, pengorbanan keluarga dan usaha berterusan dalam membina sebuah legasi.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU