KUCHING: Sebanyak 31 buah motosikal ditahan dalam Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) di Jalan Tabuan, Jalan Central Timur dan Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kesemua motosikal itu ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati diubah suai.
“Sepanjang operasi ini, seramai 82 individu dan 75 buah motosikal diperiksa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah operasi bermula 9.30 malam hingga 4 pagi itu turut mengeluarkan 151 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurut Alexson, dalam tempoh 1 Januari hingga 21 Disember ini, seramai 26 ditangkap kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 298 motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 2,622 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Tujuan operasi adalah bagi membanteras aktiviti samseng jalanan agar pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya,” katanya.






