KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 328 penjual menyertai Our Local Eco Haven 2026 (OLEH), sekali gus menjadikannya antara platform terbesar jual beli, pertukaran dan guna semula barangan di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata penganjuran program julung kali di Sarawak itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan pada harga berpatutan, malah menyemai kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, program itu turut mengetengahkan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya membabitkan alam sekitar, komuniti dan pendidikan.
“Yang penting bagi saya, program ini melibatkan belia bersama masyarakat dalam satu program berkaitan alam sekitar yang baik,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak pada program berkenaan di Dewan Suarah Samarahan, di sini, hari ini.
Rubiah berkata konsep jual beli, pertukaran dan guna semula barangan turut memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapatkan barangan pada harga lebih rendah, selain mengurangkan pembaziran.
Menurutnya, penyertaan 328 penjual daripada individu, persatuan dan pertubuhan menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan.
Program itu menampilkan pelbagai barangan terpakai termasuk pakaian, buku, kasut, permainan, peralatan sukan dan barangan antik.
Dalam pada itu, Rubiah memuji penganjuran lelongan amal yang menggabungkan elemen hiburan dan kebajikan.
Katanya, antara barangan yang dilelong ialah seluar milik jaguh Muay Thai negara, Jojo atau Johan Ghazali, yang berjaya dilelong pada harga RM850.
Hasil lelongan itu akan disumbangkan bagi membantu pesakit kanser otak.
“Sambil berhibur, sambil berderma. Ini satu ciri program yang amat menarik dan perlu kita ketengahkan. Kalau boleh, lebih ramai lagi masyarakat terlibat dalam program seperti ini,” katanya.
Program Our Local Eco Haven 2026 berlangsung pada 8 dan 9 Ogos di Dewan Suarah Samarahan.
Rubiah berkata program seumpama itu perlu diteruskan dan diperluas ke kawasan lain di Sarawak bagi menggalakkan lebih ramai belia dan masyarakat menyertai aktiviti kemasyarakatan, ekonomi serta kelestarian alam sekitar.



