KUCHING: Saingan peringkat separuh akhir Piala Cabaran Rimong Crocs 1.0 2024 bakal berlangsung Ahad ini, 5 Januari.
Empat pasukan akan berentap bagi merebut slot ke pentas final.
Pengerusi kejohanan, Raymond Anak Lori, menegaskan bahawa perlawanan separuh akhir pertama akan menemukan pasukan ZZ United, pilihan utama kejohanan, dengan SS 17 FC pada jam 10:30 pagi.
Untuk rekod, ZZ United diperkuatkan dengan kehadiran enam bekas pemain Sarawak iaitu Zamri Morshidi, Shahrol Saperi, Ismail Bujang, Mohd. Hafiz Abu Bakar, Ahmad Bujang, dan Zameri Zainal.
Sementara itu, aksi separuh akhir kedua bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan Taee Union dan GTD FC pada jam 12:00 tengah hari.
“Kita menjangkakan perlawanan yang menarik bagi kedua-dua separuh akhir ini.
“Saya percaya, fokus semua pasukan adalah untuk meraih kemenangan dan layak ke perlawanan akhir,” ujar Raymond kepada Arena Suara Sarawak.



