47 pelajar IPT tiba di Limbang

LIMBANG: Seramai 47 pelajar iaitu 26 orang dari Limbang dan 21 dari Lawas yang belajar di pelbagai IPT di Labuan selamat tiba di Limbang menggunakan bot ekspres sewa khas, semalam.

Daripada jumlah itu, 41 pelajar dari Kolej Matrikulasi Labuan, empat dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan masing-masing dari Management and Science University Labuan dan Institut Latihan Perindustrian Labuan.

Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, kesemua pelajar yang tiba akan dikuarantin sebelum dibenarkan balik ke kediaman masing-masing.

“Pelajar-pelajar ini akan dikuarantin di Limbang dalam tempoh seminggu. Mereka akan diambil sampel dan keputusan akan diketahui dua hari kemudian.

“Jika negatif, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya kepada media selepas menerima ketibaan Kumpulan Pertama 47 pelajar Bahagian Limbang yang belajar di Labuan di Dermaga Kastam Limbang.

Menurut Paulus lagi, bagi pelajar yang berasal dari Lawas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang akan menghantar pelajar pulang ke Lawas apabila selesai menjalani kuarantin di Limbang.

Jika didapati positif Covid19, pelajar itu akan dihantar untuk mendapatkan rawatan di Miri, tambahnya.

“Saya menyeru kepada ibu bapa setiap pelajar ini agar bersabar dalam keadaan luar biasa ini.

“Paling penting, anakanak mereka sudah berada di Limbang, tetapi perlu menunggu sepuluh hari lagi sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak