KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mempertingkatkan penguatkuasaan dan kesedaran keselamatan jalan raya di seluruh negara menerusi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang dilaksanakan serentak dengan Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 13 hingga 29 Mac 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, langkah berkenaan diambil bagi meningkatkan tahap kesedaran orang awam terhadap keselamatan jalan raya menjelang musim perayaan dan cuti sekolah yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan.
“Di Sarawak, operasi itu melibatkan kira-kira 500 anggota JPJ yang menjalankan aktiviti advokasi serta penguatkuasaan di lokasi strategik dengan tumpuan utama diberikan kepada pemeriksaan bas di tiga terminal utama negeri iaitu di Kuching, Sibu dan Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Penguatkuasaan JPJ Sarawak di Terminal Bas Kuching Sentral, hari ini.
Hasbi berkata, setiap bas akan menjalani pemeriksaan teknikal secara menyeluruh sebelum dibenarkan memulakan perjalanan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan dan penumpang berada pada tahap optimum.
Beliau menjelaskan, JPJ turut melaksanakan semakan rekod kesalahan lalu lintas pemandu serta ujian saringan air kencing bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh bahan terlarang.
“Selain itu, larangan penggunaan jalan raya oleh kenderaan berat akan dikuatkuasakan pada 19 hingga 20 Mac iaitu dua hari sebelum Aidilfitri dan pada 28 hingga 29 Mac selepas perayaan bagi mengurangkan kesesakan serta risiko kemalangan.
“Operasi bersepadu ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau menegaskan, tiada kompromi akan diberikan terhadap pesalah lalu lintas yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Usaha berterusan itu diharap dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya yang sering meningkat setiap musim perayaan sekali gus memastikan perjalanan orang ramai pulang ke kampung halaman lebih selamat dan teratur.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili.



