KUCHING: Seramai 60 orang pemain terbaik akan menyertai sesi pemilihan seterusnya yang diadakan di Miri bermula 15 Januari hingga 11 Februari depan.
Ketua jurulatih skuad bola sepak Sukma Sarawak Awangko Shahbuddin Pengiran Abu Bakar memberitahu, himpunan pemain terbabit antara yang telah melepasi sesi pemilihan yang diadakan di Kuching sebelum ini.
“Kita telah mengenal pasti 60 orang pemain terbaik semasa pemilihan di Kuching baru-baru ini.
“Kesemua mereka akan mengikuti sesi pemilihan seterusnya di Miri pada tarikh yang dinyatakan itu,” ujar Awangko Shahbuddin kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata, pemilihan yang akan berlangsung di Miri kelak bagi mencari 30 pemain terbaik untuk disenarai panjang sebagai persiapan membentuk pasukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
“Inilah peluang pemain untuk mengintai slot mewakili Sarawak pada Sukma XXI 2024.
“Saya berharap mereka akan memanfaat peluang ini dengan sebaik mungkin. Dengan kata lain, tonjolkan bakat sebenar anda sepanjang tempoh tersebut.



