KUCHING: Kualiti penyelidikan dan inovasi pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak terus mendapat pengiktirafan industri apabila beberapa projek cemerlang menerima anugerah khas daripada syarikat-syarikat terkemuka sempena Pameran Projek Tahun Akhir (FYP) Semester 1 2026.
Program yang berlangsung pada 26 Mei lalu itu mengetengahkan sebanyak 73 projek yang dihasilkan oleh 154 pelajar tahun akhir daripada Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains (FECS).
Bertemakan “Mereka dalam STEM Boleh Bekerjasama Membina Dunia yang Lebih Baik”, pameran dwitahunan tersebut meraikan pelajar dengan memberi peluang kepada mereka mempamerkan kebolehan serta kepakaran teknikal yang dibangunkan sepanjang pengajian.
Dekan FECS, Profesor Ir Su Hieng Tiong berkata, bidang kejuruteraan, pengkomputeran dan sains bukan sekadar disiplin ilmu, malah berperanan mengubah idea kepada penyelesaian yang memberi impak bermakna kepada masyarakat.
“Pelajar kita bukan sahaja menyelesaikan cabaran masa kini, malah sedang membentuk masa depan yang lebih baik menerusi STEM,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.



