ARTIKEL

Hasidah ketika menjawab soalan ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek berhubung status terkini perkara di bawah MA63 yang masih belum diselesaikan, khususnya berkaitan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Kelulusan projek pendidikan tak perlu lagi melalui Putrajaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perbincangan mengenai bidang pendidikan dan kesihatan di Sarawak akan diteruskan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) serta jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja yang berkaitan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan hak-hak negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) bagi memastikan hak serta kepentingan Sarawak dilindungi dan terus diperkukuh secara berperingkat demi manfaat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berhubung pengembalian autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan kepada Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurut Hasidah, dalam bidang pendidikan setakat ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju mewakilkan kuasa kepada Pengarah Pendidikan Sarawak untuk meluluskan projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak atau mana-mana entiti selain Kerajaan Persekutuan.

“Langkah ini menghapuskan keperluan sebelum ini untuk mendapatkan kelulusan melalui Putrajaya, sekali gus membolehkan pelaksanaan projek pendidikan di negeri ini dijalankan dengan lebih cepat dan cekap,” katanya.

Beliau menambah, turut dipersetujui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu berunding dengan Pengarah Pendidikan Sarawak sebelum membuat keputusan berkaitan pelantikan atau pelantikan secara memangku di negeri ini bagi mengurangkan kekosongan jawatan yang berpanjangan.

Selain itu, katanya, KPM bersedia membenarkan satu lagi mata pelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diajar dalam bahasa Inggeris, iaitu Sains Komputer.

“Walaupun dilaksanakan secara berperingkat, langkah ini merupakan perkembangan yang bermakna dan selaras dengan Perenggan 17 Laporan Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC), yang mengiktiraf pendirian Sarawak berhubung penggunaan bahasa Inggeris,” katanya.

Bagi bidang kesihatan, Hasidah berkata Sarawak terus berusaha mendapatkan penurunan kuasa statutori secara rasmi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] supaya urusan pelesenan, pemeriksaan dan kelulusan kemudahan jagaan kesihatan swasta dapat ditadbir di peringkat negeri.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama diadakan pada 11 Ogos 2025 bagi membincangkan akses kepada perkhidmatan kesihatan, infrastruktur, keperluan tenaga kerja serta pembangunan jangka panjang sistem kesihatan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan kerjasama yang erat dengan Sarawak dan Sabah, dan kita berharap semangat kerjasama ini akan terus dikekalkan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU