KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max berwarna putih yang dipandu seorang warga tempatan ditahan kira-kira 400 meter dari sempadan Malaysia–Indonesia.
Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div), kenderaan yang bahagian muatan belakangnya ditutup menggunakan kanvas biru itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke laluan haram sempadan negara.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan membawa pelbagai barangan terkawal dan barangan runcit tanpa dokumen perjalanan atau dokumen pengesahan muatan yang sah.
“Antara barangan dirampas ialah 2,450 karton rokok jenis ERA bernilai RM83,300, selain sebuah Isuzu D-Max yang dianggarkan bernilai RM110,000,” kata kenyataan itu.
Tambah TDM, turut dirampas ialah dua telefon bimbit masing-masing berjenama Samsung bernilai RM800 dan Vivo bernilai RM700, serta sebuah beg sandang bernilai RM50, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM194,850.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa kejayaan berkenaan hasil gabungan maklumat risikan dan tindakan anggota Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) di bawah kawalan operasi Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) menerusi Op Keris Parang di Sektor Alpha, Serikin.
“Individu warga tempatan terbabit bersama semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan lanjut.
“Dalam pada itu, TDM menegaskan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.
“Orang ramai dan agensi berkaitan turut digesa menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan keluar masuk secara haram di sempadan kepada pasukan keselamatan yang beroperasi bagi membantu membendung jenayah rentas sempadan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerjasama semua pihak amat penting selaras dengan aspirasi ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara, yang menyeru komitmen seluruh jentera kerajaan serta kerjasama segenap lapisan masyarakat.



