SIBU: Jangan suka menyalahkan orang lain. Kalau lemah, lihat dahulu apa kelemahan diri kita dan jika berjaya, lihat bagaimana usaha itu membawa kejayaan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, masyarakat tidak boleh mengamalkan sikap mencari kesalahan pihak lain atas setiap kelemahan yang dihadapi, sebaliknya bermuhasabah dan memperkukuh kemampuan sendiri demi memastikan negeri terus maju dan makmur.
“Jangan salahkan orang lain. Kalau kita lemah, lihat kenapa kita lemah. Kalau kita maju, lihat juga bagaimana kita boleh maju.
“Sarawak tidak boleh bergantung kepada orang lain. Kita mesti bergantung kepada kekuatan sendiri kerana hanya orang Sarawak yang benar-benar memahami bagaimana hendak mengurus dan membangunkan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam bersama Ketua Masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap pemimpin perlu mempunyai niat yang betul dalam melaksanakan amanah kerana setiap usaha yang dilakukan demi kepentingan rakyat akan membawa manfaat kepada masyarakat dan menjadi amalan yang berkekalan.
“Kita semua akan meninggalkan dunia ini. Harta tidak dibawa bersama, hanya amalan yang akan mengiringi kita.

“Justeru, niat mesti betul kerana Tuhan mengetahui kalau niat ikhlas untuk membantu rakyat, tidak kira sebagai kerajaan, pemimpin atau ketua masyarakat, Tuhan akan membalas segala kebaikan itu,” tegasnya.
Dalam pada itu katanya, barisan kepimpinan negeri tidak boleh hanya bergantung kepada laporan di peringkat atasan, sebaliknya perlu sentiasa turun padang bagi memahami sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi rakyat.
“Kalau saya dan barisan Kabinet hanya bekerja di peringkat atasan tanpa mengetahui apa yang berlaku di bawah dan hanya berpolitik semata-mata, negeri ini akan hancur.
“Malah kita dapat melihat ada negara yang kaya dengan sumber minyak tetapi gagal membangun kerana politik yang tidak baik sehingga rakyat terus hidup susah dan pendapatan mereka tidak meningkat.
“Alhamdulillah di Sarawak kita dapat mempertahankan politik yang baik untuk semua masyarakat sehingga pembangunan dapat dilaksanakan dan pendapatan rakyat terus meningkat,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat supaya terus memelihara perpaduan yang menjadi tunjang kepada keamanan dan kemajuan negeri.
Katanya, segala dasar pembangunan yang dilaksanakan hari ini adalah bagi memastikan generasi akan datang menikmati kehidupan yang lebih makmur menerusi peningkatan ilmu pengetahuan, ekonomi dan peluang pembangunan.
“Saya sentiasa berdoa agar Sarawak terus menjadi negeri yang aman.
“Sebab itu saya selalu beritahu Perdana Menteri bahawa kalau Sarawak kuat, Malaysia akan kuat. Kalau Sarawak tidak kuat, Malaysia juga tidak akan kuat,” katanya lagi.



