ARTIKEL

ABDUL RAHMAN YAKUB PEMIMPIN TIGA ZAMAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»TIRAI sejarah pentadbiran dan warna-warni arena politik Sarawak dalam tempoh dua dekad pertama selepas menyertai Persekutuan Malaysia, mungkin belum diselak sepenuhnya sehingga buku berjudul Abdul Rahman Yakub: Pemimpin Tiga Zaman menemui pembaca, bulan lalu.

Buku karya terbaharu penulis prolifik terkenal Dr. Jeniri Amir ini sangat bermakna dalam khazanah pustaka negara, khususnya bagi genre biografi pemimpin dan tokoh ternama tanah air.

Naskhah yang mengambil masa 15 tahun untuk diterbitkan, sejak mula ditulis pada 2009 menceritakan secara terperinci perjalanan hidup, cabaran, sumbangan serta perjuangan tokoh negara yang cukup terkenal dengan kehebatan berpidato ini.

Lipatan sejarah kehidupan Allahyarham Tun Abdul Rahman Yakub, yang pernah menggalas jawatan tertinggi sebagai Yang di-Pertua Negeri keempat (2 April 1981 hingga 2 April 1985) dan Ketua Menteri Sarawak ketiga (7 Julai 1970 hingga 26 Mac 1981) ini merupakan biografi penting yang mesti dibaca dan difahami oleh semua rakyat.

Ia bukan sahaja menceritakan peristiwa penting yang berlaku di Sarawak, tetapi turut melibatkan sumbangan besar pemimpin  tertinggi pertama berbangsa Melayu-Melanau itu kepada Malaysia.

Maka tidak hairanlah penulisnya mengambil masa agak lama menerbitkan buku ini kerana perlu melakukan kajian mendalam sehingga menggeledah pustaka dan arkib di London, Kuala Lumpur, Singapura dan Kuching.

Penulis turut mewawancara banyak sumber termasuk Tun Rahman sendiri dan dan isterinya, Toh Puan Hayati Ahmad.

Hasilnya banyak kisah pengalaman politik berwarnawarni dan perkara tidak diketahui umum berkaitan Tun Rahman dirakam dalam naskhah ini.

KELAHIRAN

Baik kisah kelahirannya pada 3 Januari 1928 di Kampung Jepak, Bintulu yang berasal daripada keluarga nelayan miskin sehingga menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.34 malam, 9 Januari 2015 di Pusat Perubatan Pakar Normah di Petra Jaya, Kuching.

Walaupun sudah tentu bukan semua dapat dimuatkan dalam buku setebal 361 halaman ini, namun ia memberikan kita pemahaman jelas supaya lebih menghargai jasa serta pemimpin terdahulu, dalam mengharungi pelbagai liku dan cabaran untuk membentuk, mengurus serta mentadbir Sarawak seperti yang kita ada sekarang.

Mengandungi sejumlah 21 bab, karya ini berkongsi pelbagai peristiwa penting dilalui Tun Rahman khususnya dalam era yang mencabar bagi Sarawak.

Selain baru merdeka dan berusaha membebaskan dirinya daripada belitan kemiskinan, negeri terbesar ini juga berhadapan masalah konfrontasi dengan Indonesia dan ancaman komunis.

Buku ini juga memperlihatkan perjalanan kerjaya Tun Rahman bermula sebagai penguji minyak Syarikat Shell Sarawak, kemudian muncul peguam bumiputera pertama lulusan Lincoln’s Inn sehingga memasuki kancah politik dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman.

Beliau dilantik menggalas beberapa jawatan menteri muda dan menteri Persekutuan sebelum diarahkan kembali ke Sarawak untuk menyandang kerusi Ketua Menteri pada 7 Julai 1970.

AGENDA

Tun Rahman meninggalkan kesan cukup besar dalam agenda pendidikan negara walaupun sebagai Menteri Pelajaran dalam tempoh hanya setahun pada 1969, dengan langkah beraninya menukar bahasa pengantar di sekolahsekolah dan institusi pengajian tinggi dalam negara kepada bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia.

Penglibatan bapa saudara kepada Yang di-Pertua Negeri sekarang, Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud itu dalam usaha memujuk kumpulan komunis di Sarawak kembali ke pangkuan masyarakat, sekali gus melakar sejarah kejayaan Operasi Sri Aman pada 1974 juga diperincikan dalam naskhah ini.

Bahkan, pembaca tidak dikecuali dipaparkan kronologi Peristiwa Ming Court pada 1987 yang dianggap ramai sebagai pertembungan antara Tun Rahman dengan Abdul Taib. Sejarah yang terpahat menyaksikan Allahyarham mengetuai sekumpulan anggota Dewan Undangan Negeri berhimpun di Hotel Ming Court, Kuala Lumpur dan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Abdul Taib sebagai ketua menteri ketika itu.

Rentetan peristiwa berikutnya, pembaca diceritakan bagaimana Tun Rahman mengetuai gabungan pembangkang yang melibatkan Pertubuhan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi mencabar Barisan Nasional negeri diketuai Abdul Taib dalam pilihan raya negeri 1987, namun mereka tewas dan Abdul Taib menjadi Ketua Menteri dari 1981 hingga 2004.

Daripada perjalanan yang penuh liku itu, pembaca turut didedahkan dengan sisi keperibadian Tun Rahman yang sentiasa berbudi bahasa dan berjiwa besar dalam memperjuangkan kemajuan agama Islam.

Beliau mengamalkan dasar terbuka dengan sesiapa pun boleh keluar masuk rumahnya untuk rakyat berdialog, berinteraksi serta mengadu pelbagai masalah secara langsung tanpa mengira masa.

Banyak lagi kejayaan, cabaran, pencapaian serta sumbangan penting Tun Rahman dicatatkan dalam buku ini yang perlu dibaca kita sebagai seorang rakyat Malaysia.

Naskhah ini bacaan menarik khususnya bagi peminat sejarah dengan garapan penulisan mudah difahami oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara yang sudah menerbitkan lebih 50 judul buku, termasuk tiga mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Openg Abang Sapiee, Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Tun Abdul Rahman Yakub.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Sarawak teliti cadangan STOLport di Apau Koden

KUCHING: Cadangan pembinaan lapangan terbang pendek (STOLport) di Apau Koden akan diteliti bagi meningkatkan perhubungan udara untuk 27 kampung masyarakat Kenyah dan Penan di kawasan

Hamzah cadang subsidi lesen memandu untuk B40

KUCHING: Kos mendapatkan lesen memandu yang membebankan golongan berpendapatan rendah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mencadangkan skim subsidi bagi membantu