ARTIKEL

ACG 2026 jambatan budaya Sarawak–Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KONSERT Anime, Komik dan Permainan (ACG) 2026 membuka tirai acara seni dan persembahan bagi tahun ini, sekali gus menandakan permulaan kalendar acara hiburan di Sarawak yang menggabungkan muzik orkestra, budaya pop moden dan kerjasama antarabangsa.

Penganjuran konsert tersebut bukan sekadar sebuah persembahan muzik berskala besar, sebaliknya menjadi simbol kematangan industri kreatif Sarawak dalam menghubungkan budaya tempatan dengan dunia antarabangsa, khususnya Jepun.

Konsert anjuran The Band Lab Group dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) itu akan berlangsung pada 31 Januari ini di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Acara yang bermula sebagai pameran muzik tempatan itu kini berkembang menjadi acara mercu tanda peringkat serantau dengan skala stadium.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert tersebut mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak untuk menganjurkan acara hiburan bertaraf antarabangsa yang menggabungkan disiplin muzik orkestra dengan elemen budaya pop moden.

“Konsert ini merupakan satu kenyataan berani bahawa Sarawak bersedia menganjurkan persembahan berskala stadium yang menggabungkan muzik orkestra dengan dunia budaya pop moden,” katanya pada sidang media konsert tersebut di Bangunan Baitulmakmur II, di sini.

Beliau menjelaskan tema utama The ACG Concert 2026 berteraskan konsep Bridges atau jambatan, yang memberi fokus kepada pembinaan Jambatan Budaya Sarawak–Jepun melalui muzik sebagai medium diplomasi budaya yang berkesan.

“Yang kita saksikan hari ini bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya merupakan satu bentuk diplomasi budaya yang berkesan dalam menghubungkan masyarakat Sarawak dan Jepun,” katanya.

Menurutnya, asas kepada jambatan budaya tersebut bermula menerusi penganjuran Sarawak International Band and Orchestra Festival (SIBOFest) pada 2024 yang mendapat sokongan penuh kementeriannya.

Festival tersebut menyaksikan kehadiran lebih 70 pemuzik dari Jepun ke Kuching untuk terlibat dalam perkongsian muzik dua hala.

Kejayaan pertemuan itu kemudiannya membawa kepada penubuhan The Band Lab Japan sebagai cawangan saudara kepada The Band Lab yang berpangkalan di Kuching.

Beberapa ahli The Band Lab Japan dijangka terbang dari Jepun ke Kuching untuk membuat persembahan bersamasama pemuzik tempatan dalam The ACG Concert tahun ini.

Abdul Karim berkata, pencapaian tersebut turut didorong sokongan berterusan kerajaan negeri memperkasakan bakat muda Sarawak di peringkat antarabangsa.

Pada September tahun lalu, kementeriannya menghantar delegasi pemuzik muda Sarawak ke Jepun bagi menyertai program pertukaran budaya.

Menerusi program tersebut, para pemuzik tempatan berpeluang membuat persembahan dan menjalani latihan bersama kumpulan pancaragam sekolah menengah terkemuka dari Jepun serta orkestra dari Guam.

“Melalui pendedahan antarabangsa ini, bakat muda kita bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal, malah berperanan sebagai duta kecil yang mengukuhkan hubungan dua hala antara Sarawak dengan Jepun,” katanya.

Hasil daripada jaringan dan kepercayaan yang dibina itu, The ACG Concert 2026 mencatat satu lagi detik bersejarah apabila kumpulan tarian sensasi yang tular dari Jepun, Avantgardey, bakal membuat penampilan sulung di Borneo menerusi konsert tersebut.

“Ini merupakan satu pencapaian bersejarah apabila Avantgardey memilih The ACG Concert sebagai platform pertama mereka di Borneo,” kata Abdul Karim.

Menurut beliau, penyertaan Avantgardey membuktikan visi seni Sarawak yang semakin melangkaui batas konvensional, sekali gus menandakan evolusi Kuching sebagai sebuah bandar moden yang menjadi titik pertemuan antara seni global dan identiti tempatan.

Dalam konteks ekonomi kreatif dan pelancongan, beliau melihat penganjuran konsert berskala besar sebagai pemacu pertumbuhan industri berkenaan.

Fenomena pelancongan konsert kini menjadi trend global apabila peminat sanggup merentas sempadan demi menikmati pengalaman hiburan berkualiti tinggi.

“Kita kini berada dalam era pelancongan konsert, apabila peminat sanggup merentas sempadan demi menikmati pengalaman hiburan berkualiti tinggi,” katanya.

Dengan menggabungkan artis antarabangsa bertaraf dunia bersama orkestra tempatan yang memenangi anugerah, Sarawak diletakkan pada kedudukan strategik sebagai destinasi seni kreatif utama di Asia Tenggara.

Beliau turut menegaskan konsert ini membuka peluang luas kepada pemain industri kreatif tempatan, termasuk pemuzik, penyanyi, kru teknikal dan penggiat produksi, untuk bekerja mengikut standard antarabangsa.

“Pengalaman terlibat dalam produksi berskala stadium merupakan satu proses pembinaan kapasiti dan eksport bakat yang amat bernilai kepada generasi muda,” katanya.

Abdul Karim, dalam pada itu, memuji keberanian dan visi The Band Lab menganjurkan The ACG Concert 2026 yang disifatkan sebagai manifestasi keyakinan anak muda Sarawak untuk bermimpi besar serta membawa nama negeri ke persada dunia.

Beliau mengajak orang ramai memenuhi Stadium Perpaduan Negeri Sarawak pada malam konsert tersebut sebagai tanda sokongan terhadap industri kreatif tempatan, sambil memperlihatkan kepada dunia bahawa Sarawak merupakan negeri yang membolehkan budaya, kreativiti dan persahabatan berkembang tanpa sempadan.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Urus tanah gambut secara menyeluruh

KUCHING: Sarawak perlu memperkukuh pengurusan tanah gambut secara menyeluruh bagi mencegah kebakaran dan mengurangkan risiko jerebu, terutama menerusi strategi berasaskan sains dan perancangan jangka panjang.