ARTIKEL

Adat kahwin Kenyah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MAJLIS perkahwinan tradisional masyarakat Orang Ulu, khususnya etnik Kayan dan Kenyah, amat kaya dengan keunikan budaya. Majlis tersebut diserikan dengan kepelbagaian warna serta adat istiadat yang tersendiri.

Adat istiadat merujuk kepada pelbagai peraturan, kebiasaan dan tatacara rasmi yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat.

Adat ini menjadi sebahagian daripada identiti budaya yang merangkumi upacara pertabalan, perkahwinan dan pengurniaan darjah kebesaran.

Orang Ulu merujuk kepada kelompok masyarakat yang berasal dari kawasan hulu sungai dan mendiami kawasan pedalaman Sarawak.

Meskipun pada masa ini ramai dalam kalangan masyarakat Orang Ulu berhijrah ke bandar atas faktor pekerjaan dan keperluan lain, komuniti tersebut masih berpegang teguh pada akar budaya mereka.

Oleh itu, bagi melangsungkan perkahwinan adat, pasangan tidak boleh berkahwin begitu sahaja kerana terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi berdasarkan undang-undang adat Kayan dan Kenyah.

Selain itu, kedudukan sosial lelaki, wanita, keluarga serta rumah panjang juga perlu diteliti terlebih dahulu sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan.

Kebiasaannya, keluarga kedua-dua bakal pengantin akan berbincang mengenai perkara tersebut terlebih dahulu. 

Selepas itu, barulah mereka menentukan langkah seterusnya dalam urusan perkahwinan adat Orang Ulu.

Dulu, adat perkahwinan masyarakat Orang Ulu amat berbeza. Menurut kajian H.C. Belawing dalam bukunya yang berjudul Adat Resam Orang Ulu (Kayan-Kenyah) di Sarawak, perkahwinan dalam kalangan masyarakat Kayan dan Kenyah hanya dibenarkan sesama anggota komuniti mereka.

Katanya, jika seseorang daripada komuniti tersebut berkahwin dengan individu daripada masyarakat lain, mereka boleh dikenakan hukuman buang daerah.

Hal ini merupakan antara amalan perkahwinan masyarakat Orang Ulu pada zaman dahulu.

Namun, amalan tersebut tidak lagi dipraktikkan pada masa ini.

Seiring dengan peredaran zaman, perkahwinan campur, khususnya antara individu yang berlainan kaum dan pegangan, bukan lagi suatu kesalahan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan agama. 

Dalam keluarga saya sendiri, ramai ahli keluarga berkahwin dengan individu yang bukan daripada komuniti Orang Ulu.

Pada minggu lalu, saya berkongsi mengenai perkahwinan adat Orang Ulu abang saudara saya, Mark Dennis, dengan pasangannya, Low Sze Sheen, di Miri.

Mark mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang berasal dari Bukit Payung, Kuala Terengganu.

Perkahwinan itu menjadikannya satu-satunya anggota keluarga besar kami yang memilih pasangan hidup dari luar Sarawak.

Seperti yang dijanjikan, saya akan berkongsi dengan lebih lanjut mengenai upacara perkahwinan adat Orang Ulu yang dilangsungkannya.

Secara ringkas, istiadat perkahwinan tersebut dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ikatan yang dibina mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

Setiap kaum di negeri ini mempunyai adat istiadat perkahwinan masing-masing.

Contohnya, adat perkahwinan masyarakat Melayu merangkumi tiga fasa utama, iaitu merisik dan meminang bagi mengenal pasti bakal pengantin serta mengikat janji, pertunangan yang melibatkan penyerahan tanda dan hantaran, serta istiadat perkahwinan yang merangkumi berinai, akad nikah, bersanding dan kenduri.

Upacara perkahwinan adat Mark dan Sheen terbahagi kepada empat peringkat, iaitu Ayam Berkokok, Naok (perjalanan), Adat Tepuku Te’ dan Adat Tai Nao’.

Antara barangan asas yang diperlukan dalam istiadat tersebut ialah kayu api, beras, arak putih, baeng (parang), manik, kain keluma (kain sarung), belanyat (beg rotan), lambung bang (plat tembaga), kain puteh (kain putih), tawek (gong), sanang (gong cerek), jako daya (rokok kampung), umah kubo’ (replika rumah) dan tebengang (replika burung kenyalang). 

Semua barangan tersebut akan digunakan dalam pelaksanaan Adat Tepuku Te’ dan Adat Tai Nao’.

Adat perkahwinan masyarakat Kenyah bermula dengan pelaksanaan Adat Tepuku Te’.

Adat ini merupakan upacara pertunangan rasmi dalam tradisi masyarakat Kenyah yang menyerupai proses merisik dan mengikat tali pertunangan.

Pihak keluarga lelaki membawa hadiah atau tanda pertunangan untuk diserahkan kepada pihak perempuan.

Perjalanan membawa tanda pertunangan tersebut dikenali sebagai Adat Tai Nao’. 

Adat ini melambangkan bermulanya kehidupan baharu bagi pasangan pengantin berkenaan.

Berdasarkan asal usul keluarga kami yang diwarisi daripada nenek moyang dan masih diamalkan sehingga kini, rombongan penghantaran tersebut dilakukan ketika ayam berkokok, iaitu sekitar jam 5.00 pagi selepas kokokan ayam kali ketiga.

Setiap keluarga mempunyai asal usul dan adat masing-masing yang perlu dipatuhi oleh bakal pengantin.

Sepanjang pelaksanaan Adat Tepuku Te’, kehadiran saksi adalah wajib. 

Upacara ini mesti dijalankan di hadapan ketua masyarakat (Paren Uma), pemimpin kampung serta penduduk kampung yang hadir sebagai tetamu bagi mengesahkan ikatan pasangan tersebut.

Dalam upacara berkenaan, tarikh perkahwinan akan dipersetujui, manakala perkara berkaitan kivan, iaitu tempat kediaman tetap pasangan selepas berkahwin akan dibincangkan dan ditetapkan oleh keluarga kedua-dua pihak.

Peringkat terakhir ialah tempoh pertunangan.

Mengikut adat, tempoh pertunangan biasanya tidak melebihi enam bulan, kecuali jika sebarang pelanjutan dimaklumkan kepada ketua rumah panjang.

Dalam kolum akan datang, saya akan berkongsi mengenai setiap barangan yang digunakan dalam perkahwinan adat tersebut serta makna di sebaliknya.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU