ARTIKEL

Ukee

Agen perpaduan kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SKIM Rukun Tetangga dilancarkan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak pada 29 Ogos 1975 dalam sektor Rukun Tetangga Kampung Kassipilay, Kuala Lumpur.

Skim ini diwujudkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) dalam Ordinan Darurat 1969.

Penubuhan awal Skim Rukun Tetangga adalah untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan tertentu yang dikenali sebagai sektor berikutan kejadian-kejadian yang menggugat perpaduan nasional ketika itu.

Skim ini memberi kuasa kepada penduduk memastikan keamanan dan keselamatan rumah dan kawasan sekitarnya melalui rondaan wajib bagi meningkatkan perhubungan antara kaum dalam komuniti setempat.

Konsep Rukun Tetangga kemudian mengalami fasa perubahan selaras dengan peredaran semasa sosioekonomi negara seperti konsep keselamatan pada 1975, konsep kejiranan untuk meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan setempat pada 1984, pembangunan komuniti dalam aspek yang menyeluruh pada 2001.

Seterusnya pada 2010, berkonsepkan Model Transformasi Rukun Tetangga dengan pelaksanaan program dan aktiviti berlandaskan lima teras iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Seperti banyak pertubuhan sukarela yang lain, Rukun Tetangga juga antara yang kurang digemari orang muda. Penyertaan generasi muda dalam Rukun Tetangga juga agak sedikit.

Ada kawasan langsung tiada penyertaan orang muda. Yang biasa dilihat, ahli Rukun Tetangga biasanya individu yang berusia 40-an hingga 70-an. Dan, juga biasa berlaku, mereka ini juga mungkin sudah bertahun-tahun menjadi ahli jawatankuasa.

Mereka kekal sebagai penggerak Rukun Tetangga yang dioperasikan secara sukarela ini.

Bukannya tiada ahli jawatankuasa, terutama pemegang jawatan utama – pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari tidak mahu mengundurkan diri.

Ada masa mereka juga mahu berikan ruang kepada orang lain.

Yang menjadi masalah apabila tiada yang mahu menyambung tugas itu.

Alasannya ada macam-macam.

Dialog biasa didengar: “Biarlah dia yang terus pegang jawatan.

Saya ikut sahaja.”

Tidak cukup dengan itu.

“Kita ni orang bekerja.

Masa kurang.

Orang pencen ada masa untuk rancang aktiviti.

Saya ikut apaapa yang dirancang.”

Seterusnya: “Dia dah biasa atur aktiviti.

Dia ada tempat cari penaja.

Kita kekalkan dia.”

Biasanya kenyataankenyataan sebegini timbul setiap kali mesyuarat pemilihan ahli jawatankuasa diadakan.

Menariknya, pemilihan ini turut menarik perhatian penduduk kampung atau kawasan perumahan di bawah Rukun Tetangga itu.

Ada juga timbul gosip-gosip tentang pemilihan ahli jawatankuasa.

Bukan setakat wanita, orang lelaki turut ‘membawang’ tentang hal ini.

Pertama: “Siapa yang bertanding kelak?”

Kedua: “Tiada orang lain lagi?”

Dua soalan popular yang jawapannya boleh menyebabkan si penyoal tadi tidak keruan.

“Memang tiada orang lain.

Ramai yang tolak.

Mun kitak maok, masuk Rukun Tetangga! Kamek boleh sokong.

Mun nak jadi pengerusi, kitak dialu-alukan.”

“Sik eh! Sik kamek maok! Jangan nak molah kerja… bukan senang kerja ya.”

Saya pernah dengar jawapan ini.

Seorang lagi rakan membalas: “Betul! Jom masuk Rukun Tetangga.

Sik maok pegang jawatan, jadi ahli pun jadilah.

Dapat kita sama-sama jaga kampung.”

“Ni da masa kamek tok! Banyak gik kerja maok dipolah di rumah!”

Jawapan yang juga selalu didengar.

Lebih perit mendengar jawapan: “Daripada ikut rondaan SRS (Skim Rondaan Sukarela), bagus kamek tidur jak.

Gik pun sik suka dengan orang dalam jawatankuasa ya!”

Memang benar tidur itu lebih enak, tetapi fikirkan juga sumbangan penduduk kampung atau taman perumahan yang perlu berjaga malam semata-mata untuk membuat rondaan.

Walaupun hanya sekali dalam seminggu, rondaan ini perlu juga diadakan.

Memang rondaan ini tidak dapat menghalang sepenuhnya kejadian tidak diingini, sekurangkurangnya ia bagi menunjukkan adanya keberadaan anggota SRS membuat rondaan.

“Ni sidak SRS?

Masih juak rumah kamek dimasuk orang…”

Juga selalu dipanjangkan dalam kumpulan WhatsApp kampung dan taman permuahan.

Seorang kawan menjawab, “Masuklah SRS.

Kita sama-sama ronda cegah jenayah. Jangan suka sangat nak salahkan orang lain.”

SRS ialah satu skim yang dipohon oleh sekumpulan pemastautin dalam Kawasan Rukun Tetangga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 orang dan berumur 18 tahun ke atas.

Skim Rondaan Sukarela dilancarkan secara rasminya pada 21 Februari 2004 di Pulau Pinang. 

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 April 2004 memutuskan untuk memperluaskan SRS di seluruh negara.

Tujuan utama penubuhan SRS adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat.

SRS hanya membantu, yang tetap memerlukan penyertaan setiap individu yang mendiami sesuatu kawasan.

Dengan ini, akan ada banyak rondaan dapat dilaksanakan.

Daripada sekali seminggu, mungkin dikerapkan menjadi tiga kali seminggu – boleh dibuat jadual.

Sekurang-kurangnya dapat ‘menakutkan’ sedikit sesiapa yang ingin mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk dan rumah.

Sebagai agen perpaduan akar umbi, Rukun Tetangga harus disokong oleh masyarakat.

Bukan untuk orang kampung sebelah, tetapi untuk orang yang mendiami kawasan Rukun Tetangga itu sendiri.

Hadir dan rela dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk mengemukakan idea-idea baharu.

Biar sama-sama memastikan Rukun Tetangga dapat membentuk perpaduan penduduk.

Jika tidak mahu menyertai sebagai ahli jawatankuasa, boleh sertai Skim Rondaan Sukarela.

Ikut serta rondaan yang diadakan.

“Jika tidak pun, hadir dan duduk-duduk di lokasi pertemuan SRS.

Tidak perlu meronda.

Kita boleh bincang hal kampung sambil minum kopi,” gesa seorang ahli jawatankuasa kepada penduduk dalam kumpulan WhatsApp kampung.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU