DALAT: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 824 hektar tanah bagi membangunkan Agro Park, khas untuk penanaman nanas di Dalat pada tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia adalah antara langkah untuk mempercepatkan peningkatan pendapatan isi rumah bagi rakyat di negeri ini.
“Dalam masa sama, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) telah mengenal pasti kawasan untuk dijadikan Agro Park iaitu berhampiran dengan Kampung Sungai Kut Dalat.
“Sejumlah RM200,000 telah diluluskan untuk kerja awalan projek ini,” katanya dalam Majlis Perasmian Kursus Teknologi Tanaman Nanas @ Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelasnya objektif pembangunan Agro Park adalah bagi menyokong usaha meningkatkan hasil pertanian bagi memenuhi permintaan dalam negeri dan eksport.
“Selain itu, membantu pekebun kecil dan menyokong industri dengan menyediakan bekalan bahan mentah secara konsisten.
“Seterusnya, menggantikan import bagi mengurangkan import makanan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai kursus yang diadakan, Farimah berkata, ia dilakukan selama dua hari merangkumi teori dan praktikal dan disertai oleh 78 orang peserta.
Kursus ini merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sarawak dengan kerjasama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Dalat.
Hadir sama Pengarah Negeri LPNM Mohammad Suffian Sahmat dan Pengerusi SABERKAS Dalat Datuk Dr Maliki Mahili.




