Ahli Parlimen Limbang serah geran berjumlah RM582,000

LIMBANG: Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah menyerahkan geran berjumlah RM582,000 kepada 181 penerima, semalam.

Penerima geran tersebut terdiri daripada JKK Iban 58 buah, JKK Penan, Murud, Lun Bawang, Kelabit 9 buah, JKK Cina 7 buah, Gereja 14 buah dan PIBG 39 buah.

Hasbi berkata, keseluruhan geran diberi merupakan hasil dari peruntukkan yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak iaitu dari parti GPS telah memperuntukkan sejumlah lima juta kepada ahli parlimen Sarawak untuk diagihkan kepada rakyat.

“Diharapkan dengan adanya geran diberikan akan dapat memudahkan JKK kampung serta organisasi-organisasi melaksanakan aktiviti,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Geran di Dewan Bunga Raya, di sini, semalam.

Beliau menyeru agar program atau aktiviti dilaksanakan di peringkat kampung atau perumahan diisi dengan pengisian yang akan memberi impak positif kepada masyarakat.

Katanya, tugas ini terletak di tangan JKK kampung

“Pihak JKK perlu lebih kreatif dalam melaksanakan sesuatu program.

“Lihat kepada keperluan di kawasan dan jika perlu dapatkan pandangan masyarakat setempat,” ujarnya.

Tambahnya, geran seterusnya masih dalam proses dan akan diagihkan jika peruntukkan tersebut sudah diserahkan kepada beliau.