KUCHING: Sebuah laporan media nasional yang diterbitkan baru-baru ini mencetuskan persepsi seolah-olah wujud ketegangan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dalam sektor minyak dan gas.
Menurut kenyataan rasmi Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim, media telah dijadikan wadah pihak tertentu untuk menyebarkan retorik yang tidak perlu, sedangkan kedua-dua peringkat sudah jelas memahami dan menghormati undang-undang.
“Kami diberi amanah di kedua-dua peringkat untuk memahami dan menghormati undang-undang, serta jelas dengan batas apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya.
Jelasnya, Sarawak telah menjadi pengeluar minyak dan gas sejak tahun 1910, jauh sebelum pembentukan Malaysia pada 1963.
“Hak Sarawak ke atas sumber petroleum dalam sempadan negeri dilindungi melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) yang dikekalkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report),” katanya.
Beliau menerangkan bahawa, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) terpakai bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai undang-undang minyak dan gas sendiri, menjadikan Petronas pengumpul tunggal dan pemilik sumber petroleum.
“Bagaimanapun Sarawak tidak pernah menerima pakai PDA 1974, sebaliknya terus mengawal selia sumbernya melalui undang-undang negeri sendiri.
“Perkara ini turut diperakui melalui perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Sarawak melalui PETROS — bukti kerjasama, bukan pertentangan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau membidas laporan berkenaan yang menekankan bahawa PDA menjadikan Petronas pemilik tunggal sumber petroleum di seluruh negara, termasuk Sarawak.
Ahmad menegaskan bahawa pandangan tersebut tidak tepat bagi konteks Sarawak, kerana undang-undang negeri Sarawak seperti OMO 1958 kekal sah dan terpakai di negeri ini.
Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri dan Persekutuan boleh beroperasi dalam bidang kuasa masing-masing secara harmoni.
“Undang-undang Persekutuan berkuat kuasa di mana ia terpakai secara perlembagaan; undang-undang negeri pula berkuat kuasa di mana ia dilindungi oleh Perlembagaan.
“Kesefahaman ini membolehkan kita bekerjasama tanpa menjejaskan kuasa pihak lain,” katanya.
Beliau juga turut memaklumkan bahawa dalam kenyataannya yang sebelum ini, tidak pernah merujuk kepada Menteri Undang-Undang.
“Kenyataan saya ditujukan khusus kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, kerana kenyataan beliau tidak tepat dan perlu diperbetulkan berdasarkan kerangka undang-undang sebenar,” ujarnya.
Justeru beliau menyatakan dengan jelas tidak akan terpengaruh dengan laporan terpilih atau putaran politik.
“Fokus kita kekal pada menegakkan undang-undang, mempertahankan hak Sarawak, dan memastikan Malaysia secara keseluruhan mendapat manfaat daripada sumber petroleum negara,” tegasnya.



