ARTIKEL

AI, sastera, hati nurani

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAYANGKAN, pada suatu malam yang sunyi, seorang penyair di Kapit duduk sendirian sambil merenung di hadapan mejanya. Di hadapannya ada sehelai kertas dan di sisinya secawan kopi yang sudah lama dingin. Sudah tiga malam dia mencari ilham untuk mengukir satu baris terakhir puisinya. Dia menulis, memadam, menyunting, mengolah semula, lalu dia berhenti.

Namun, dia tidak puas hati dan mahu memastikan karyanya memenuhi kriteria puisi yang bermutu tinggi dan layak disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Dia berusaha untuk melahirkan pemikiran pulitis dan gaya penuh estetika. Penyair itu berharap sifat tidak ada, puisinya itu memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Dapatlah dia membawa pulang wang RM1,000, sekali gus mengaikkаn namanya di persada sastera tanah air.

Penyair itu sedar bahawa satu baris itu bukan sekadar susunan kata. Ia dalamnya ada wajah seorang ibu yang telah tiada, ada kampung halaman yang semakin berubah, ada cinta yang pernah singgah, ada luka yang tidak pernah benar-benar sembuh, ada sejarah yang tidak tercatat dalam buku teks, dan ada sebahagian daripada dirinya sendiri.

Kemudian, bayangkan di sebelah penyair itu terdapat sebuah mesin. Kepada mesin itu diberikan satu arahan yang mudah: “Tuliskan sebuah puisi tentang pengalaman saya ketika kehilangan ibu.” Dalam beberapa saat, satu puisi muncul. Mesin itu tidak pernah lelah, malah dapat menjana puluhan kalaupun tidak ratusan puisi dalam waktu singkat. Tidak memerlukan tiga malam dan tidak memerlukan secawan kopi yang dingin. Yang diperlukan ialah prompt atau arahan yang jelas.

Persoalannya bukan lagi sama ada mesin mampu menghasilkan puisi kerana mesin sudah pun mampu melakukannya. Persoalan yang lebih mendasar ialah, adakah keupayaan menyusun kata secara berestetika sudah cukup untuk dinamakan sebagai karya sastera?

Pada Sini minggu lalu, saya diundang menyampaikan ucapan utama dalam Seminar Sastera Asia Tenggara dengan tajuk “Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau pada Era Kecerdasan Buatan.” Tajuk tersebut membawa saya kepada satu pertanyaan yang sederhana tetapi sangat mendasar. Apabila mesin sudah mampu menulis puisi, cerpen, esei kritikan dan novel, apakah yang masih menjadi tugas seorang sasterawan?

Kita sedang menyaksikan perubahan yang belum pernah berlaku dalam sejarah penciptaan karya. Dahulu, manusia bergerak daripada tradisi lisan kepada tulisan, daripada manuskrip kepada mesin cetak, dan daripada buku bercetak kepada platform digital. Kini, kita melangkah daripada bahasa yang diwariskan oleh nenek moyang kepada bahasa yang turut dipelajari oleh mesin.

Kecerdasan buatan atau AI atau di Indonesia dikenali sebagai Akal Imitasi mampu menghasilkan ribuan perkataan dalam beberapa saat. Mesin dapat mencipta jalan cerita, menyusun dialog, menterjemahkan puisi dan meniru gaya bahasa tertentu. Namun, adakah keupayaan menghasilkan bahasa bererti mesin benar-benar memahami makna?

Mesin mungkin mengetahui bahawa perkataan “ibu” muncul berkuta-kuta kali dalam tulisan teks. Namun, hanya manusia mengetahui bagaimana rasanya menyebut perkataan itu ketika seorang kehilangan ibu yang amat dicintainya. Mesin mengenali pola bahasa, tetapi manusia mengenali harga sebuah pengalaman. Ya, antara pola dengan pengalaman itulah kesusasteraan lahir.

Sebab itu, persoalan terbesar dalam era AI bukan sama ada mesin akan menjadi semakin cerdas dan pantas. Hal itu sudah pun berlaku. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada manusia akan terus memelihara jiwa, ingatan, empati dan suara nuraninya.

Dalam konteks Asia Tenggara, AI membuka peluang yang amat besar. Rantau ini memiliki hampir 700 juta penduduk, pelbagai bangsa dan ribuan bahasa serta dialek. Kita mempunyai hikayat, pantun, syair, mitos, legenda dan cerita rakyat yang diwariskan merentas generasi. Sebahagian daripada karya-karya tersebut masih hidup dalam tradisi lisan, sementara sebahagian lagi semakin terpinggir daripada arus utama.

AI dapat membantu kita menemukan manuskrip lama, mendokumentasikan tradisi lisan, menterjemahkan karya dan memperkenalkan sastera tempatan kepada pembaca dunia.

Bayangkan sebuah puisi dari Kuching dapat dibaca di Bangkok; novel dari Manila dibincangkan di Hanoi; dan cerita rakyat dari Laos diterjemahkan untuk pembaca di Jakarta.

Namun, teknologi harus digunakan untuk memperluas suara manusia, bukan menggantikannya. Teknologi yang baik bukanlah teknologi yang menyebabkan manusia tidak lagi relevan sebab teknologi yang baik ialah teknologi yang membolehkan lebih ramai manusia didengar.

Perkara ini amat penting bagi bahasa kecil dan bahasa sukuan. Setiap bahasa ialah suatu cara melihat dunia. Setiap dialek menyimpan sejarah, manakala setiap cerita rakyat membawa memori kolektif sesebuah masyarakat. Sebuah perkataan yang hanya diketahui oleh komuniti kecil mungkin menyimpan pengalaman yang tidak dapat digantikan oleh sekuta perkataan daripada bahasa dominan.

Justeru, bahasa kecil bukanlah bahasa yang miskin. Bahasa kecil ialah perpustakaan pengalaman manusia yang belum cukup dibaca oleh dunia. Apabila satu bahasa pupus, kita bukan sekadar kehilangan sejumlah kata. Sebaliknya, kita turut kehilangan suata cara memahami alam, kehidupan dan makna menjadi manusia.

Sebenarnya, masa depan kesusasteraan Asia Tenggara bergantung pada kemampuan kita membaca satu sama lain. Kita dapat sahaja menganjurkan ribuan festival, ratusan persidangan dan puluhan anugerah, tetapi kesusasteraan Asia Tenggara hanya benar-benar hidup apabila pembaca Melayu membaca penyair Khmer; mahasiswa Vietnam mengenali novel Ngayau karya Amir Jaya dari Sabah; pembaca Thailand menemukan Pemerkontar karya Jong Chian Lai dari Sarawak; dan pembaca Filipina tersentuh oleh cerita dari Laos.

Sebuah rantau tidak menjadi dekat hanya kerana sempadannya bersebelahan. Sebuah rantau menjadi dekat apabila manusia di dalamnya memahami cerita satu sama lain. Kesusasteraan memungkinkan kita menyedari bahawa kesedihan, kehilangan, cinta dan harapan tidak memerlukan pasport.

Di sinilah muncul paradoks terbesar zaman kita. Kita sedang membina mesin yang mampu membaca berjuta-juta dokumen dalam beberapa saat, sedangkan kita sendiri belum membaca karya negara jiran.

Jangan sampai algoritma menjadi pembaca Asia Tenggara yang lebih tekun daripada kita. Jangan sampai mesin lebih cepat mengenali legenda, puisi dan novel rantau ini, sedangkan kita masih melihat satu sama lain sebagai orang asing.

Apakah, akhirnya, tugas sasterawan pada zaman AI? Tugas sasterawan bukanlah berlumba menulis lebih pantas daripada mesin kerana manusia pasti tewas dalam perlumbaan itu. Tugas sasterawan adalah untuk menulis sesuatu yang tidak dapat dialami oleh mesin. Ya, mengingati apa-apa yang mahu dilupakan oleh dunia, memperosalkan apa-apa yang mahu dipaksakan oleh kuasa, menyimpan ingatan bangsa sebelum ingatan itu hilang, dan membawa suara mereka yang tidak mempunyai mikrofon.

Kita tidak perlu takut bahawa mesin akan mampu menulis bahasa; sebaliknya yang perlu kita takuti ialah manusia kehilangan suara. Kita tidak perlu takut bahawa mesin mampu berceritera dan berbicara. Yang seharusnya kita bimbangkan ialah manusia berhenti mendengar cerita satu sama lain.

Kita juga tidak harus memilih antara masa lalu dengan masa hadapan. Tanggungjawab kita adalah membawa yang terbaik daripada masa lalu — bahasa, ingatan, kebijaksanaan, kearifan dan kemanusiaan — untuk membentuk masa hadapan yang masih belum selesai ditulis.

Kesusasteraan bukanlah pertandingan tentang siapa yang mampu menghasilkan paling banyak kata. Kesusasteraan ialah perjuangan menentukan kata-kata mana yang layak diwariskan.

Biarkan mesin semakin cerdas dan pantas bekerja, tetapi jangan biarkan manusia semakin kehilangan jiwa. Saya hendak menegaskan, biarkan teknologi membuka lebih banyak pintu, tetapi manusia yang mesti menentukan ke mana pintu itu membawa kita.

Teknologi mungkin menulis masa depan bersama kita, tetapi manusia yang mesti memastikan masa depan itu masih mempunyai jiwa raga dan hati nurani.

* Dato Dr. Jeniri Amir ialah penkritik sastera dan pernah memenangi hadiah puisi dan kritikan.

BERITA LAIN

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak. Ketua Penerbitan, Pembangunan

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap