KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak memberi jaminan aksi terbaik bakal disaji pemainnya apabila turun melayani kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.
Menurut Aidil, kemenangan menjadi fokus pasukannya pada aksi terakhir di gelanggang sendiri.
Segalanya, bukan mudah kerana pasukan lawan juga menyimpan hasrat yang sama.
“Kita tetap fokus untuk mencari kemenangan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur malam esok.
“Walaupun kita tahu Kuala Lumpur bukan mudah untuk ditundukkan, tetapi pemain kita akan terus menampilkan aksi terbaik,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Aidil menambah, beliau dijangka melakukan rombakan terhadap barisan kesebelasan yang diturunkan malam esok.
Dengan kata lain, berlaku rombakan membabitkan pemain dalam usaha memastikan keseimbangan di semua posisi.






