ARTIKEL

JUARA... Barisan pemain Only Tuak dari Kuala Lumpur meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Dodgeball Terbuka Kuching (KDOT) 2026 di Arena Sukan, Kuching, Ahad lalu.

KDOT 2026: Only Tuak bangkit balas kekalahan, juarai Dodgeball Terbuka Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Only Tuak dari Kuala Lumpur bangkit membalas kekalahan kepada Red Card Holder dari Miri untuk menjuarai Kejohanan Dodgeball Terbuka Kuching (KDOT) 2026 selepas memenangi dua perlawanan penentuan final di Arena Sukan, Kuching, Ahad lalu.

Kejohanan anjuran Persatuan Dodgeball Kuching (KDA) yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober itu menghimpunkan 15 pasukan dengan 124 pemain berdaftar dari Malaysia, Singapura dan Brunei, membabitkan 59 perlawanan di dua gelanggang.

Presiden KDA merangkap Penganjur Utama KDOT, Darren Robin berkata, kejohanan edisi kedua selepas penganjuran sulung pada Disember 2025 itu membuktikan peningkatan daya saing pemain tempatan, selain mengukuhkan hubungan antara komuniti dodgeball serantau.

SATU HATI… Para peserta daripada pelbagai kelab tempatan dan serantau merakam gambar kenangan bersama-sama.

“Saya berbangga dengan pencapaian KDOT 2026, tetapi perkara paling bermakna ialah melihat komuniti dodgeball bersatu, bukan sahaja ketika bertanding, malah di luar gelanggang.

“Ia memberi peluang kepada pasukan dari Sarawak bersaing dengan pemain berpengalaman dari wilayah lain,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, kejohanan yang berlangsung bersempena Festival What About Kuching (WAK) itu mendapat sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak melalui geran, tajaan Driver AI serta pengiktirafan Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), dengan empat pegawai pertandingan dilantik bagi mengendalikan aspek pengadilan.

Kemenangan tersebut membolehkan Only Tuak menamatkan kempen dengan sembilan kemenangan daripada 10 perlawanan, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,500 berserta piala dan pingat, manakala Red Card Holder menerima RM2,000 serta pingat sebagai naib juara.

Sementara itu, Kitsune menamatkan saingan di tempat ketiga dengan hadiah RM1,000 selepas mempamerkan peningkatan ketara, termasuk menewaskan Maestro dari Brunei 3-1 pada pusingan penyingkiran meskipun pernah dibelasah 0-6 oleh pasukan sama di peringkat kumpulan.

Kecemerlangan pemain Sarawak turut mendapat pengiktirafan apabila Brian Chin Yung Liang daripada Orion, Kuching dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai Lelaki, manakala Rofina Rhodea Anak Konsil daripada Kitsune menerima anugerah Pemain Paling Bernilai Wanita, masing-masing membawa pulang RM250 serta piala.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU