KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi tersohor tanah air, Datuk Aishah bakal mengadakan konsert solo berskala besar menerusi ‘Aishah 40 Chapters Of Love’ yang dijadual berlangsung di Megastar Arena, di sini pada 4 Julai depan.
Konsert istimewa anjuran Vox Nation Live itu bukan sahaja meraikan perjalanan seni pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin sejak era 1980-an, tetapi turut membawa makna tersendiri buat beliau.
“Saya artis yang jarang membuat konsert, jadi ini sangat bermakna.

Perjalanan saya bukan lurus, tetapi macam ‘roller coaster’.
Ada masa naik, ada masa jatuh… tetapi saya percaya kalau kita ada semangat untuk membaiki diri, kita akan sentiasa bangkit semula,” katanya pada sidang media konsert itu di sini, pada Selasa.
Pelantun lagu Janji Manismu itu berkata konsert berkenaan bukan sekadar persembahan, sebaliknya menjadi platform menghimpunkan individu daripada pelbagai fasa kehidupannya sepanjang 40 tahun dalam industri.
“Muzik ini akan menjadi penghubung kepada semua yang hadir,” katanya, sambil menambah konsert itu turut menampilkan penyanyi Ara Johari sebagai artis jemputan.

Menjengah usia 61 tahun, Aishah mengakui perlu bekerja lebih keras dalam membuat persiapan konsert berkenaan, khususnya selepas berdepan kritikan terhadap kemampuan vokalnya.
“Dulu mungkin saya tidak bekerja sekeras seperti sekarang. Tetapi apabila umur meningkat, kita faham kemampuan sebenar kita dan perlu berusaha untuk mencapai tahap itu.
“Sekarang saya berlatih kira-kira tiga jam setiap hari, menjaga pemakanan dan stamina.
Pada usia ini, untuk membuat persembahan hampir tiga jam bukan mudah, apatah lagi lagu-lagu saya banyak yang bernada tinggi,” katanya yang akan menyampaikan lebih 20 lagu pada konsert itu.
Bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat dan ke-10 itu turut mendapatkan bimbingan guru vokal bagi memperbaiki teknik nyanyian, selain melihat kritikan sebagai ruang untuk memperbaiki diri.
“Dulu saya tidak faham kenapa ada masa nyanyian menjadi atau tidak.
Sekarang apabila belajar, barulah saya faham… selama ini kita buat, tetapi kita tidak tahu kenapa menjadi atau tidak,” katanya, sambil menambah perubahan suara seiring usia adalah perkara semula jadi.
Sementara itu, Aishah mengakui berdepan cabaran apabila jualan tiket awal yang dibuka sejak 17 April lepas mengalami gangguan sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat, malah tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj.
“Apabila berlaku keadaan itu, saya menangis dahulu… kerana kita bekerja keras.
Selepas itu barulah fikir langkah seterusnya,” katanya.
Menurut penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu, situasi berkenaan berlaku apabila sistem pembelian membolehkan tiket dimasukkan ke dalam troli tanpa pembayaran, sekali gus memperlihatkan kepada pengguna lain seolah-olah telah habis dijual.
“Ada yang mengatakan mereka menunggu berjam-jam, cuba masuk tetapi tidak berjaya, ada yang nampak ‘sold out’. Rupanya sistem itu dimasukkan ke dalam ‘cart’, menyebabkan orang lain tidak dapat membeli,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihak pengurusan dan penganjur mengambil keputusan menukar platform jualan bagi memastikan peminat dapat membeli tiket dengan lebih lancar.
Kini, tiket konsert berkenaan boleh dibeli menerusi laman web www.ticketmelon.com/voxnationlive/aishah40 dengan lapan kategori ditawarkan pada harga antara RM168 hingga RM788. — Bernama



