SIBU: Usaha memulihara sungai bukan sekadar melindungi sumber air dan alam sekitar malah mampu menjana pendapatan dan membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat menerusi ekopelancongan.
Pendekatan itu dibuktikan oleh Komuniti Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kalang Rengas dari Hulu Terengganu yang mengubah kawasan pengkalan tradisional kepada destinasi rekreasi berasaskan alam semula jadi sekali gus dinobatkan sebagai johan Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026.
Ketua Pegawai Operasinya, Zulhafiz Zarriq Abd Hadi, 33, berkata inisiatif itu bukan sahaja menawarkan aktiviti berkayak, perkhemahan dan pembinaan pasukan malah turut memberi manfaat ekonomi kepada peniaga serta penyedia perkhidmatan tempatan.
Beliau berkata usaha pemuliharaan juga melibatkan penanaman pokok keruing dan neram di sepanjang tebing Sungai Berang khususnya kawasan sepanjang tujuh kilometer yang menjadi tumpuan aktiviti ekopelancongan dikenali sebagai Little Amazon.
“Kami mewarisi khazanah sungai hasil usaha generasi terdahulu… sekarang menjadi tanggungjawab kami memastikan generasi akan datang turut menikmati manfaatnya.
“Kalau komuniti sendiri tidak mengambil inisiatif menjaga sungai, siapa lagi yang akan melakukannya?” kata beliau kepada Bernama selepas majlis penyampaian AKSA sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Zulhafiz berkata aktiviti ekopelancongan turut memberi kesan limpahan ekonomi kepada kedai runcit dan kontraktor kecil selain menarik minat institusi pengajian tinggi menjalankan penyelidikan berkaitan kualiti air Sungai Berang.
Sementara itu, Setiausaha Komuniti River Ranger Sungai Terap dari Batu Gajah, Perak Nur Abidah Ahmad, 36, berkata usaha pemuliharaan sungai boleh dimulakan dengan langkah mudah seperti mengutip sampah sebelum diperluas melalui program pendidikan alam sekitar dan pemantauan sungai.
Beliau berkata penglibatan generasi muda dan kerjasama dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta penting bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan tetapi juga pembakar semangat untuk kami memperkukuh usaha pemuliharaan sungai secara mampan,” katanya.
Pengerusi Kebun Taman Jajar Sungai Ara, Pulau Pinang, Yew Mun Choong, 58, pula berkata inisiatif menjaga sungai tidak memerlukan penyertaan besar pada peringkat awal sebaliknya boleh dimulakan oleh beberapa individu yang komited.
“Mulakan dengan dua atau tiga orang… apabila masyarakat melihat perubahan, lebih ramai akan tampil menyertai usaha itu,” katanya yang turut menggalakkan syarikat korporat menyokong usaha komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
CBT Kalang Rengas menerima geran pembangunan RM20,000 dan plak penghargaan selaku johan AKSA 2026 manakala Komuniti River Ranger Sungai Terap muncul naib johan serta membawa pulang geran RM15,000 dan Taman Jajar Urban Farming menduduki tempat ketiga dengan geran RM10,000.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucapannya berkata pemeliharaan sungai memerlukan tanggungjawab bersama kerajaan, komuniti, industri, NGO dan generasi muda.
AKSA, yang diperkenal pada 2019, menerima sembilan pencalonan tahun ini, dengan empat daripadanya disenarai pendek bagi penilaian lanjut termasuk lawatan verifikasi tapak.
Fadillah berkata PETRA menyusun pelbagai aktiviti sempena sambutan pada tahun ini dan pengisiannya merangkumi pendidikan, kesedaran, rekreasi serta penglibatan komuniti supaya mesej penjagaan sungai dapat didekati oleh masyarakat pelbagai peringkat umur.
Beliau juga berkata sebahagian besar aktiviti telah berjaya dilaksanakan antaranya Pertandingan Mewarna, Pocket Talk, Pertandingan Fotografi dan Videografi, Pertandingan Memancing di Batang Rajang, Zumba serta River-Walk.
Program Ekspedisi Sumber Air Negara, yang berbentuk ekspedisi menyusuri sungai, juga telah dilaksanakan di sekitar Bahagian Sibu dan Kapit. – BERNAMA





