ARTIKEL

TUGAS MENCABAR… Barisan pemain Itali yang bakal turun menentang Bosnia pada aksi playoff Piala Dunia awal pagi esok. - Foto AFP

Aksi hidup mati Itali

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERTEMBUNGAN Itali menentang Bosnia pada aksi playoff Piala Dunia awal pagi esok bakal menjadi tumpuan apabila kedua-dua pasukan memburu penampilan semula ke pusingan akhir selepas 12 tahun sekali gus melupakan kekecewaan lalu dalam aksi sarat dengan nilai sejarah.

Juara empat kali, Itali terlepas Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut mencuri tumpuan dengan penampilan terakhir mereka pada 2014 turut menyaksikan satu-satunya penyertaan Bosnia di pentas terbesar bola sepak dunia.

Itali tersingkir di peringkat playoff bagi edisi 2018 dan 2022, manakala rekod Bosnia turut tidak memberangsangkan dalam saingan tersebut.

Mereka tewas di peringkat sama bagi Piala Dunia 2010 selain gagal dalam playoff bagi empat edisi Kejohanan Eropah terakhir.

Pertemuan ini turut membawa nilai sejarah buat Bosnia, apabila kemenangan pertama mereka sebagai negara merdeka hadir ke atas Itali hampir 30 tahun lalu.

Pemain Bosnia pernah beraksi di Piala Dunia seawal 1950 sebagai sebahagian daripada Yugoslavia dan walaupun negara itu merdeka pada 1992, Bosnia hanya mendapat keahlian rasmi FIFA pada 1996

Kempen kelayakan pertama Bosnia bermula pada tahun itu untuk Piala Dunia 1998, namun perlawanan pertama di Sarajevo selepas Perang Bosnia adalah aksi persahabatan menentang Itali pada November 1996.

Itali muncul pasukan kebangsaan pertama beraksi di bandar yang baharu pulih daripada kepungan 1992-95 ketika perang, sekali gus memberi mesej Sarajevo selamat untuk menganjurkan aksi bola sepak antarabangsa.

Perlawanan itu, aksi antarabangsa rasmi kelima Bosnia, berlangsung pada awal petang kerana Stadium Olimpik Kosevo belum mempunyai lampu limpah dengan kehadiran 40,000 penonton dan disiarkan secara langsung di televisyen Itali.

“Tidak perlu dijelaskan lagi kepentingan perlawanan ini jauh melangkaui sukan dan bola sepak itu sendiri,” kata pengulas RAI, Bruno Pizzul ketika sepak mula.

Bosnia menang 2-1 untuk mencatat kemenangan pertama negara itu di pentas antarabangsa, manakala pengendali Itali ketika itu Arrigo Sacchi meletak jawatan susulan kekalahan berkenaan.

Tiga dekad kemudian, taruhannya jauh berbeza. Kekalahan sekali lagi buat Itali akan mencetuskan tekanan besar ke atas negara bola sepak itu yang berdepan kemerosotan sejak menjulang Piala Dunia 20 tahun lalu.

Dua kekalahan besar kepada Norway pada pusingan kelayakan memaksa Itali sekali lagi mengharungi playoff dan selepas menewaskan Ireland Utara di laman sendiri Khamis lalu, aksi di Zenica boleh menamatkan penantian mereka ke Piala Dunia.

Bosnia turut menamatkan kempen kelayakan di tangga kedua kumpulan dengan satu kekalahan kepada Austria dan kemenangan penentuan penalti ke atas Wales pada separuh akhir playoff membuka peluang mereka ke pusingan akhir buat kali kedua.

Faktor cuaca memaksa Itali mengubah perancangan pada saat akhir apabila salji melanda Zenica Sabtu lalu diikuti hujan pada Ahad, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan padang dan menyebabkan skuad kendalian Gennaro Gattuso berlatih di pangkalan mereka di Coverciano pada pagi Isnin.

Kapasiti Stadium Bilino Polje juga dikurangkan susulan tindakan disiplin dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas insiden ketika perlawanan terakhir Bosnia di laman sendiri menentang Romania pada November lalu.

Walaupun kehadiran penonton terhad dan cuaca mencabar, suasana panas dijangka menyelubungi Zenica bagi aksi hidup mati yang bakal menamatkan penantian salah satu pasukan ke Piala Dunia. – AFP

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang