SIBU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dengan kerjasama SKUAD Antidadah Sibu (SKUAD) menganjurkan perlawanan persahabatan pickleball menentang pasukan Sarawak Energy Berhad Sibu Region (SEB) di gelanggang pickleball SEB, semalam.
Objektif penganjuran perlawanan persahabatan tersebut selain menjadi landasan untuk memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam, sukarelawan serta syarikat berkaitan kerajaan.
Program ini secara tidak langsung mampu menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara AADK dengan pemegang taruh utama di Daerah Sibu.
Menariknya, penganjuran perlawanan persahabatan itu dapat dilihat melalui komposisi ahli SKUAD yang terdiri daripada gabungan pelbagai agensi kerajaan, badan korporat serta badan berkanun.
Antara yang terlibat dalam pasukan SKUAD termasuk wakil PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), SMK Bukit Lima, SMK Rosly Dhoby, Telekom Malaysia (TM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Melalui penganjuran program ini, ia membuktikan komitmen AADK dalam menggembleng tenaga dan kerjasama pelbagai agensi untuk menyokong aspirasi Dadah Terkawal 2030, bukan sahaja melalui penguatkuasaan dan pendidikan, malah menerusi aktiviti riadah yang membina hubungan baik sesama agensi.
Turut menjayakan perlawanan tersebut ialah wakil Ketua Daerah AADK Daerah Sibu, Mohamad Farizal Mohamad Buang; Pengurus Wilayah Tengah SEB, Jabu Ngumbang; Pengerusi Jawatankuasa SKUAD, Raden Khairulzaman Raden Bustari; Timbalan Pengerusi SKUAD, Mohamad Mostapha Lasot, serta kakitangan agensi berkaitan.



