APA-APA yang terjadi di Ecuador kebelakangan ini suatu perkara yang mengejutkan, menggerunkan selain mendapat perhatian dunia.
Beberapa hari lepas berlaku kekecohan di stesen televisyen apabila diserbu sekumpulan lelaki bersenjata selain berlaku kejadian letupan di beberapa bandar.
Memetik laporan berita, kejadian ini berlaku ketika Presiden Ecuador Daniel Noboa, memaklumkan negaranya ketika ini berperang dengan kartel dadah.
Beliau mengumumkan 22 kumpulan penjenayah sebagai organisasi pengganas, sekali gus menjadikan geng terbabit sasaran tentera.
Noboa yang memegang jawatan Presiden pada November tahun lalu, berjanji untuk menangani masalah keselamatan disebabkan peningkatan kumpulan pengedar dadah yang menyeludup kokain melalui Ecuador.
Krisis terbaharu bermula apabila pihak berkuasa melaporkan raja dadah paling dikehendaki, Jose Adolfo Macias atau lebih dikenali sebagai Fito melarikan diri dari penjara.
Malah, kira-kira 130 pengawal dan kakitangan penjara yang dijadikan tebusan oleh kumpulan banduan di beberapa pusat tahanan sejak Isnin lalu turut mendorong Naboa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di seluruh negara.
Pemimpin itu mengenakan tindakan keras itu selepas beberapa siri letupan berlaku di seluruh negara dan sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu stesen televisyen TC ketika siaran langsung.
Kejadian ini mungkin hari-hari biasa di Amerika Selatan yang terkenal dengan aktiviti menghasil dan mengeksport dadah.
Namun aktiviti yang berleluasa dan di luar kawalan pihak berkuasa ini menyebabkan berlakunya rasuah, keganasan antara kartel sehingga menggugat kestabilan negara itu sendiri.
Kartel dadah yang memperoleh kekayaan menerusi aktiviti haram tersebut sering merasuah penguat kuasa undang-undang, pegawai kerajaan dan institusi untuk terus berkuasa.
Ini menjejaskan kedaulatan undang-undang itu sendiri yang membawa kepada ketidakadilan dan akauntabiliti.
Kegiatan kartel yang berleluasa ini juga sering membawa keganasan apabila dua kumpulan kartel berbeza berperang merebut dan memperluaskan kawasan masing-masing.
Kartel sering kerap terlibat dalam aktiviti keganasan untuk mewujudkan dan mengekalkan kawalan.
Keganasan ini berlanjutan kepada pertempuran sesama pesaing, pihak berkuasa malah orang awam yang menyumbang kepada kadar jenayah yang tinggi dan rasa tidak selamat.
Di samping, ekonomi mungkin terjejas akibat rasuah dan pengalihan sumber daripada sektor yang sah.
Pengubahan wang haram menjadi berleluasa, menjejaskan sistem kewangan dan menghalang pembangunan ekonomi.
Aktiviti kartel dadah ini juga mendatangkan kesan yang mendalam kepada komuniti setempat yang menghadapi kerosakan dalam struktur sosial kerana keganasan dan ketakutan mengganggu kehidupan seharian.
Pengaruh wang dadah boleh menghakis fabrik sosial, membawa kepada ketidakpercayaan dan kemerosotan dalam kesejahteraan masyarakat.
Dari segi hubungan dua hala dengan negara lain, negara yang mempunyai kerajaan yang dikawal oleh kartel dadah sering mengalami hubungan tegang dengan negara lain disebabkan kebimbangan mengenai pengedaran dadah, jenayah terancang dan potensi mendatangkan kesan yang lain.
Apa-apa yang berlaku di negara Amerika Selatan tidak terjadi di negara kita dan sudah semestinya kita tidak mahu kartel-kartel dadah mempengaruhi kehidupan termasuk keputusan kerajaan.
Kita sudah terbiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, mana mungkin kita mahu kehidupan diganggu-gugat dan dikawal oleh kartel dadah.
Bukan sahaja kepada kehidupan masyarakat, ia juga mendatangkan kesan kepada negara khususnya ekonomi kerana aktiviti haram tersebut memberi kesan kepada kewangan.



