ARTIKEL

Aleysha Van Der Horst

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Bintang muda kelahiran Sarawak, Aleysha Shareef Van Der Horst, yang kini berusia 13 tahun, sekali lagi melebarkan sayap dalam arena muzik antarabangsa menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul WINGS.

Single berkenaan kini boleh didengari di seluruh dunia menerusi pelbagai platform hiburan digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Pelancaran terbaharu itu menyusul selepas kejayaan single antarabangsa pertamanya, SHINE LIKE US, yang diterbitkan pada Februari lalu.

Menerusi pencapaian luar biasa itu, Aleysha mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai rakyat Malaysia termuda yang pernah menerbitkan single antarabangsa dalam bahasa Inggeris.

Kedua-dua karya tersebut merupakan hasil ciptaan dan terbitan komposer terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Manny Mijares.

Penyanyi balada berbakat yang kini giat mendalami permainan piano itu sememangnya tidak asing dengan pencapaian bertaraf dunia.

Pada 2024, beliau mewakili Malaysia dalam Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Los Angeles dan membawa pulang dua pingat emas serta satu pingat gangsa.

Beliau turut melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerima tawaran biasiswa ke Filem Akademi New York menerusi kejohanan tersebut.

Meneruskan momentum cemerlang, Aleysha sekali lagi dipilih untuk mewakili negara pada April lalu dalam pertandingan Pusingan Akhir Dunia SanRemo Junior di Itali.

Bersaing dengan peserta berusia antara 13 hingga 15 tahun dari 19 negara, beliau berjaya tersenarai dalam kalangan lima peserta terbaik dunia dan menjadi salah seorang daripada empat peserta yang menerima Anugerah Khas (Special Mention Award).

Di platform digital, konsistensi Aleysha dalam pertandingan nyanyian dalam talian Pertandingan Muzik Belia Antarabangsa (IYMC) di Amerika Syarikat membolehkan beliau dinobatkan sebagai Pemenang Mutlak Tahunan (Absolute Winner for the Year) 2025.

Kemenangan itu membolehkan beliau menerima undangan eksklusif untuk membuat persembahan di dewan ternama dunia seperti DiMenna Center for Classical Music di New York dan Royal Academy of Music di London.

Bagaimanapun, demi mengutamakan keluarga, peluang untuk membuat persembahan tersebut terpaksa dilepaskan berikutan kos perjalanan antarabangsa yang tinggi.

Ibu beliau, Shirley Hasmani Datuk Eddie, menjelaskan mereka lebih bersyukur dengan pencapaian Aleysha setakat ini berbanding mengejar peluang untuk mengadakan siri persembahan resital di luar negara.

Sebagai tanda kesyukuran atas pelancaran WINGS, Aleysha bersama-sama keluarganya meluangkan masa melawat sebuah rumah anak yatim di Kuching.

Selain menyumbangkan barangan keperluan dan makanan, beliau turut berkongsi kisah perjalanannya bagi memberikan motivasi kepada lebih 50 anak di rumah berkenaan.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan istimewa lagu WINGS serta dua lagu lain secara santai. Beliau turut melayan peminat baharu dengan mesra dan memberikan autograf.

Dengan bakat yang dimiliki serta sokongan padu keluarga, pelancaran “WINGS” terus membuktikan keupayaan Aleysha untuk terbang lebih tinggi, sekali gus membawa nama Sarawak dan mengharumkan nama Malaysia di persada muzik antarabangsa.

BERITA LAIN

Khir Rahman kembali ke pentas teater Istana Budaya

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah tersohor, Khir Rahman kembali beraksi di pentas teater selepas hampir sedekad menerusi pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil di

Shuib Sepahtu tampil mohon maaf

PELAWAK Shuib Sepahtu mengambil tanggungjawab atas ketegangan yang berlaku antara dirinya dengan rakan seperjuangannya, Jep Sepahtu, apabila tampil memohon maaf secara terbuka selepas hampir seminggu

BERITA TERBARU