ALLAH is calling

KITA seorang pendosa? Semua orang berdosa.
Semua orang melakukan kesilapan. Tetapi bukan semua orang digerakkan pintu taubat walaupun ia sering dibuka seluas-luasnya.
Kisah benar sahabat kami benar-benar mengubah hidupnya, pandangannya dan penerimaannya terhadap persekitaran dalam masa 24 jam.
Di sini saya sertakan catatannya, mengenai kisahnya dibangunkan jam 2.15 pagi – bahu terasa digoncang, azan mendayu-dayu singgah di telinganya sedangkan waktu itu belum Subuh lagi.
Kisah ini diceritanya dengan air mata tanpa diubah fakta melainkan bahasa dan gaya penceritaan di dalamnya.
“Ia terjadi tidak sampai 24 jam saya menelefon bapa saya kerana masalah peribadi. Pagi saya menelefonnya sambil menangis-nangis. Jadi perkara yang saya hendak cerita, biasalah anak perempuan.
“Dia cuma mendengar dan berkata, apa-apa saja yang perjalanan hidup kami anak-anaknya, dia restu dan reda.
Percayalah dengan janji Allah, Dia penentu segala tujuan kehidupan kita.
“Bapa saya kata, kembalilah kepada agama dan minta dan mohon kepada-Nya, bukan kepada sesama manusia.
Jangan direbut cinta kepada dunia. Selepas itu, sepanjang hari saya asyik teringatkan bapa.
Saya mula berasa sangat kerdil. Saya menidakkan perasaan saya dan terus melakukan kerja tetapi fikiran saya terus menerjah wajah bapa.
“Andai bapa saya ada ketika itu, saya akan memeluknya. Namun ia langsung tidak mengganggu kerja saya pada hari itu.
Saya akui seorang yang cekal ketika bekerja, apa-apa input dari luar tidak pernah mengganggu tumpuan saya.
“Pada 11 malamnya pula, saya sedia untuk tidur. Biasanya saya membaca apa-apa saja dalam talian sampai saya terlelap.
“Sedar tidak sedar, saya hanyut. Seketika telinga saya menangkap suara azan. Allahuakbar… Allahuakbar…. saya berada di awang-awangan seperti orang bermimpi. Suara itu mengulangi…. Allahuakbar…. Allahuakbar…
Bahu Digoyang
“Saya masih mengantuk yang amat sangat.
Tiba-tiba, bahu saya digoyang. Perlahan-lahan. Saya biarkan. Kali kedua bahu saya seperti ditepuk-tepuk lembut, dingin dan senyap di cuping telinga.
“Tidak, ia bukan mimpi. Saya capai telefon dan melihatnya, jam 2.15 pagi, saya terduduk.
“Melihat sekeliling, kosong. Di mana saya berada? Saya cuba turun dari katil, tetapi tidak dapat. “Peluh saya meleleh laju, bukan dek kepanasan kerana penghawa dingin masih terbuka.
Tulang temulang saya terasa longgar, dan tubuh saya menggigil.
Hati saya seperti disentap, jiwa saya seakan-akan dicabut.
“Ia bukan perasaan sakit. Tapi di dalam tubuh saya seperti tiada hati dan perasaan, kosong yang sangat dalam dan pilu yang amat sangat.
“Entah bagaimana saya tiba-tiba menangis dan terus menangis.
Tidak tahu dari mana terbitnya perasaan itu, pilu sayu dan kosong.
“Perasaannya lain macam, sayunya bukan sembarangan tahap. Selepas itu, tanpa dipinta terbit rasa berdosa yang sangat dalam.
“Tiba-tiba saya berasa seperti banyak dosa.
Keinsafan itu datang tiba-tiba. Saya teringat wajah bapa dan emak saya, saya menangis sehingga basah bantal. Saya menangis sepuas hati, saya ingin memeluk mereka.
“Mungkin hati emak bapa saya terguris selama ini?
Pilunya tidak dapat diungkap, saya terus menangis hingga ke Subuh.
“Saya ambil wuduk, saya solat Subuh dan saya menangis yang amat dahsyat di tikar sejadah untuk pertama kalinya dalam hidup saya.
“Hingga ketika akhir doa, saya luahkan kepada-Nya – Andai setakat ini
Kau-bangunkan aku untuk bertaubat, sedarkan aku daripada mimpi hitamku, dosaku dan segala-galanya,
Kau-cabutkan nyawaku sebelum terbit matahari pagi.
“Hampir sejam saya duduk di atas sejadah dan saya kunci bilik, saya ingin keseorangan.
“Pada 7.30 pagi saya ambil telefon, saya mesej ustaz sahabat saya dan ceritakan kepadanya perkara yang terjadi tadi malam.
“Dia nenghantar emoji orang berdoa. Dan tulis, awak sepatutnya bersyukur kerana terpilih dalam kalangan manusia yang mendapat teguran terus.
Sesiapa pun ada dosa kecil atau besar, pembunuh atau pelacur, ustaz atau menteri, tetapi tidak semua orang mendapat hidayah.
“Ubahlah cara hidup. Bekerjalah seolah-olah awak hidup 1,000 tahun lagi, dan beribadat seperti awak mati esok hari.
Dia gembira katanya dan tidak pernah menilai apa-apa berkenaan saya.
Lupakan kisah glamor, lupakan dosa semalam, jadi orang baharu.
“Baca kisah pembunuh yang mahu bertaubat, ketika dalam perjalanan untuk mencapai niatnya, meninggal dunia di tengah jalan lagi
Allah angkat taubat.
“Ada banyak sebab mengapa Allah turunkan duka, supaya awak melihat ada sinar di kemudian hari.
“Bertaubat, dan solat taubat tidak kira kecil, besar dosa.
Allah sentiasa menerima orang yang tertaubat, orang yang kembali ke jalannya.
Allah sayang kepada umat-Nya yang bertaubat. Itu tanda Allah sayang.
Hidayah Dan Teguran Allah “
Mendapat hidayah dan teguran Allah merupakan benda terbaik dalam kehidupan.
Ulama pun terima teguran Allah dalam pelbagai bentuk.
“Selepas itu saya termenung, apakah yang saya buat selama ini?
Saya tidak membuka al-Quran sedangkan zaman sekolah saya, saya wakil qariah sekolah?
“Saya terpilih ke sekolah menengah agama asrama penuh dan belajar agama tetapi saya lupa diri. Saya mampu membaca al-Quran dengan lancar, tapi saya jarang membacanya.
Apa yang saya kejar selama ini?
“Perkara pertama yang saya lakukan hari itu, saya tanam di dalam hati memaafkan semua kesalahan suami dan anak-anak kepada saya.
Saya reda dengan apa-apa yang terjadi sepanjang kami berumah tangga.
“Saya maafkan juga kawan-kawan yang pernah menyakiti saya atau sebaliknya.
Ada satu terbit sayu di dalam hati saya yang cuma saya saja yang mengetahuinya, ia tidka dapat diungkap dengan kata-kata.
“Saya berjumpa dengan seseorang sedangkan dulu, saya bersumpah kepada diri saya sendiri, dia orang terakhir di dalam dunia ini yang saya mahu jumpa.
Saya minta maaf kepadanya, ini bukan kisah kawan melukakan hati kawan, ini kisah sangat luar biasa.
Biarlah ia menjadi rahsia saya seorang. Saya mula membaca tafsiran al-Quran dalam talian, malah saya tidak sabar menunggu waktu yang selama ini saya lengah-lengahkan.
Saya tahu, apa-apa saja yang saya lakukan, suami turut terpalit dosa.
“Malam keduanya, saya berjaga kerana takut akan disapa lagi.
Saya cuma tidur jam 4 pagi dan bangun lagi jam 5.30 pagi.
Dan sepanjang hari juga saya tidak bermesej dengan orang lain kecuali yang saya pilih dan rapat dengan saya.
Saya mula membaca kisah taubat Umar Bin Dinar, kisah taubat Mr Asean Malek Noor yang 24 jam berubah daripada suka menayang seluar dalam kepada memakai jubah dan banyak lagi.
Orang hebat seperti mereka, lagi diberi Allah jalan menuju syurga, mengapa saya yang biasa-biasa ini harus disisih?
Saya mula mencatur kehidupan saya, 24 jam lalu benar-benar mengubah siapa saya. Saya mula tertanya-tanya, pangkat dan darjat yang manusia kejar untuk apa?
Saya menilai semula kerjaya saya, saya menangis lagi.
Selama saya berurusan dengan manusia, mungkinkah saya terzalim kepada mereka?
Hampir 48 jam saya bermusabah diri, untuk apa gaji besar jika saya sering lupa Allah.
Amalan lima waktu takkan cukup jika jiwa kita kosong.
Allah uji saya lagi, tidak sampai 24 jam, saya tidak boleh menghadap-Nya lagi kerana masalah perempuan.
Untuk pertama kali dalam hidup, saya menangis kerana saya tidak dapat menghadap-Nya.
“Saya pun hairan bagaimana saya menangis kerana saya datang haid?
Bayangkan rasa ingin bertemu itu, sangat mendesak. “
Jika saya mengungkapnya 100 kali lagi pun, saya terus menangis.
Hanya orang pernah digerak merasainya. Ia bukan perasaan biasa, tetapi luar biasa yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Tanyalah kepada mereka yang pernah melaluinya, untuk dilukis di atas kanvas kertas pun tidak mampu manusia melakukannya.
Perlu Ditegur
“Kita perlu digerakkan sekali-sekala supaya ingat, ke mana sebenarnya kiblat kita berada.
Saya tinggalkan beberapa kumpulan WhatApps kawan-kawan kecuali kawan rapat saya.
Saya sekat beberapa kawan yang selalu negatif kerana saya tidak mahu mendengar apa-apa isu negatif.
Ini bukan bertujuan saya menunjuk saya riak… bukan. Saya sekadar mahu berkongsi pengalaman saya, mungkin ada yang mendapat teguran lebih hebat daripada saya.
“Saya berkongsi, bagaimana kejadian ini mampu mengubah pandangan terhadap diri saya sendiri dan perubahan berlaku kepada diri saya, itu sahaja.
Saya tidak tahu pada mulanya, mengapa saya disapa pada waktu itu. “Akhirnya saya perasan, kerana reda bapa saya.
Sebaik-baik sahaja dia mengungkapkan kata, saya reda dengan apa-apa yang anak saya laku dan lakukan, saya maafkan semua, kembali kepada-Nya, pagi berikutnya saya menerima teguran.
“Rupa-rupanya ini yang saya tunggu setiap hari ini, bertahun-tahun… saya tunggu keberanian saya untuk berbicara dengan bapa dan akhirnya ia mencetus kejadian yang saya sendiri tidak sangka, Allahuakbar!
Dalam diam saya mula memasang pendengar di telinga mendengar kisah menginsafkan, mendengar bacaan al-Quran.
Jika kita tidak mampu membacanya sekalipun, kita mendengar sahaja kalam Allah, sudah menenangkan.
“Sahabat ustaz saya menghantar lagi pautan kisah taubat.
Katanya, manusia tidak pernah berehat mengejar wang, percayalah, ia tidak akan kekal.
Akhirnya, kita menghadap-Nya cuma dengan kain putih.
Malah awak akan menemui lebih banyak cara Allah turunkan rezeki, jika awak dahulukan apa yang wajib awak dahulukan.
“Katanya lagi, lima waktu tidak cukup untuk menebus kebaikan. Kita berasa hebat, kita berasa kita betul dan kita berasa kita cuma berdosa sedikit kerana tertangguh lima waktu, tidak. Ia bukan perihal lima waktu sahaja, ia perihal bagaimana kita harus kembali kepada-Nya.
“Usah lagi mengepung dunia, usah lagi mengumpul harta, kerdilkan diri, tanya kepada diri sendiri, aku baik, aku berduit, aku bersedekah, aku menolong orang yang susah, aku ada segala-galanya tetapi adakah aku ada untuk-Nya?
Kata-katanya menyedarkan saya. Benar, kita sering lupa kerana kita berbuat baik kepada orang, kita jaga sikap dan sifat, kita juga disayangi ramai tetapi kita lupa satu perkara, adakah kebaikan kita kepada-Nya diterima.
Semoga catatan saya ini, menyebarkan perasaan positif kepada semua kerana hingga hari ini, apabila saya berseorangan, perasaan itu datang tiba-tiba.
“Satu yang saya ingatkan diri sendiri selepas ini, jangan pernah rasa jatuh apabila apabila kita berasa diri kita banyak dosa.
Kembalilah ke jalan-Nya.
Percayalah, tidak semua benda jatuh itu buruk kerana hujan pun jatuh dari langit.
“Kesimpulannya, saya masih mencari ruang untuk diri sendiri, saya masih mencari kekuatan supaya saya terus istiqamah.
“Doakan saya, doakan kawan-kawan saya yang saya akan bawa bersama-sama menuju kebaikan itu luas,” katanya menamatkan catatan.