Seramai kira-kira 60 peserta yang terdiri daripada guru, kakitangan dan murid Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kuching (SRIAAM) menyertai Larian Maya Antarabangsa Eko Alam Semula Jadi 2026 yang berlangsung di Taman Pusat Miri, baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar.
Walaupun diadakan secara virtual, para peserta tetap menunjukkan komitmen tinggi apabila berjaya menamatkan larian sejauh enam kilometer mengikut masa dan lokasi yang ditetapkan.
Bagi memastikan setiap penyertaan direkodkan dengan tepat, semua peserta menggunakan aplikasi Strava untuk merekodkan jarak, masa serta laluan larian masing-masing.
Penggunaan aplikasi itu membolehkan peserta menyertai acara secara lebih fleksibel tanpa mengira lokasi, selaras dengan konsep larian virtual yang semakin mendapat sambutan.
Suasana program berlangsung meriah apabila para peserta saling memberi sokongan dan semangat sepanjang aktiviti dijalankan.
Selain menggalakkan amalan hidup aktif, program tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.
Pihak sekolah berharap penyertaan dalam Larian Maya Antarabangsa Eko Alam Semula Jadi 2026 dapat menyemai budaya bersukan, memupuk disiplin serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar dalam kalangan murid sejak usia muda.
Menurut pihak sekolah, aktiviti seumpama itu mampu mewujudkan keseimbangan antara kecergasan fizikal, kesejahteraan mental dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam.
Pada masa sama, pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang berjaya menamatkan cabaran larian enam kilometer itu serta berharap semangat kesukanan, amalan hidup sihat dan kecintaan terhadap alam sekitar akan terus menjadi budaya dalam kalangan warga SRIAAM.



