Bagaimanakah Ramadan dijadikan peluang untuk berubah menjadi insan lebih baik?
Merujuk artikel oleh Nurhidayah Hairom Ramadan, Bulan Cari Keredaan Allah yang disiarkan akhbar tempatan dan memetik pendapat Sohibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, Ramadan merupakan peluang untuk seseorang merubah perilaku menjadi lebih baik.
Peluang bertaubat dan berazam memperbaiki kelemahan terbentang luas pada bulan yang penuh barakah, ibadah dan kerohanian.
Seharusnya kita ambil peluang yang diberikan Allah SWT dengan beribadah berpuasa pada siang dan memenuhi malam dengan solat tarawih, tadarus dan sebagainya.
Ramadan menjadi peluang besar untuk menguatkan keinginan berubah kepada kebaikan.
Ia mampu menyuburkan roh dan semangat dalam diri seseorang dengan berpuasa sepanjang bulan.
Contohnya, semangat seperti mampu menjadikan perokok berhenti daripada tabiat buruk merokok.
Begitu juga amalan ketagih mengambil bahan terlarang seperti dadah dan seumpamanya.
Ibadah bulan mulia ini mampu mengawal syahwat dan keinginan buruk individu.
Dengan syarat berpuasa itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh penghayatan serta ikhlas kerana Allah.
Syeikh Mustafa al-Sibaie berkata, puasa sebagai manifestasi kepada kematangan seseorang dan ketinggian iradatnya.
Ramadan juga peluang untuk mengatur pemakanan dan mengembalikan berat badan ideal.
Pemakanan seimbang merupakan tuntutan dalam aspek kesihatan yang inginkan kesempurnaan.
Pemakanan baik menyihatkan badan sekali gus emosi seseorang.
Ini kerana Allah SWT dalam maksud sebuah hadis menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah.
“Kuat” merangkumi kekuatan ilmu dan kepakaran juga bermaksud kekuatan tubuh badan.
Dalam konteks beribadah seperti solat fardu atau sunat sudah pasti seseorang Muslim itu perlukan tubuh badan sihat dan kuat.
Sementara itu, rahmat Allah SWT turun pada Ramadan dan dibebaskan beberapa golongan daripada azab neraka, maka ia merupakan peluang bagi pendosa dan pelaku maksiat (semua kita termasuk dalam golongan ini) untuk membuka lembaran baharu dan kembali menjadi “bayi” yang baru lahir (fitrah).
Justeru, individu yang inginkan perubahan pada dirinya perlulah bersikap proaktif dan berlumba-lumba mendapatkan kebaikan yang disediakan oleh Allah SWT pada Ramadan.
Semoga segala kebaikan menuju perubahan walaupun dalam skala kecil atau sederhana membuahkan hasil yang diimpikan.