Anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan mengakui tidak menyesal menerima tawaran sebagai wajah kempen baharu rangkaian Teh Yeo’s kerana peluang tersebut membuka ruang untuknya menimba pengalaman serta memahami erti sebenar mencari rezeki.
Menurut Ammar, pelibatannya dalam kempen itu bukan sekadar memberi pulangan wang, malah menjadi titik permulaan untuk dirinya mengenali dunia baharu yang sebelum ini tidak pernah diterokai.
“Saya tidak menyesal menerima tawaran ini sebab bukan sahaja dapat duit, tetapi saya juga dapat menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang baharu.
“Bagi saya, ini sesuatu yang baharu dan saya bersyukur kerana dapat belajar serta merasai pengalaman seperti ini.
“Pada masa sama, saya juga dapat memahami bagaimana penat lelah ayah mencari rezeki untuk keluarga kami,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Magik Teh & Kamu, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ammar berkata, pembabitannya dalam program tersebut turut membawa perubahan positif dalam dirinya apabila kini lebih terbuka untuk belajar serta mencuba perkara baharu.
“Saya bersyukur kerana terpilih dan sejak terlibat dalam program ini, memang ada perubahan dalam diri saya.
“Dulu saya jenis yang tidak ambil tahu banyak perkara dan hanya mahu habiskan masa bersama-sama kawan-kawan sahaja. Tapi sekarang saya mula rasa mahu belajar dan mencuba benda-benda baharu,” ujarnya.
Tambah Ammar, proses pembelajaran itu bukan mudah kerana dia turut berdepan pelbagai cabaran emosi termasuk rasa penat dan tekanan sepanjang menjayakan kempen berkenaan.
Bagaimanapun, pengalaman tersebut banyak mengajarnya tentang keyakinan diri termasuk cara bergaya dan beraksi di hadapan kamera.
Pada masa sama, Ammar turut mendedahkan bapanya menjadi individu paling kuat memberi dorongan untuk dia menerima tawaran tersebut.
“Sebenarnya ayah yang cadangkan supaya saya terima tawaran ini agar saya dapat belajar lebih banyak perkara baharu.
“Saya belajar bagaimana untuk berdiri, senyum dan tunjukkan ekspresi wajah yang betul supaya tidak nampak terlalu kaku. Bagi saya, ini peluang terbaik untuk belajar dan tambah pengalaman,” katanya.



